Nasional

Majikan tidak berhak tentukan siapa kontak rapat kecuali KKM

MAJIKAN tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri menentukan kontak rapat seseorang jika ada antara pekerjanya yang dikenal pasti positif jangkitan Koronavirus (Covid-19).

Keputusan itu hanya boleh dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) susulan terdapat pekerja yang dikenal pasti positif dan majikan tidak boleh sewenang-wenangnya berbuat demikian.

Malah, dalam penentuan kuarantin kendiri ataupun tidak, pekerja juga akan ditentukan oleh KKM sama ada mereka dalam kategori individu di bawah siasatan (PUI) ataupun individu di bawah pemerhatian (PUS).

Sekiranya pekerja di bawah PUI, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13.

Sementara kategori PUS pula dibenarkan bekerja sekiranya tidak disahkan sebagai kontak rapat kepada rakannya yang positif Covid-19 oleh KKM.

“KKM ada prosedur operasi standard (SOP), bila ikut SOP yang kontak rapat, KKM ada PUI dengan PUS. PUI yang akan disiasat dan akan dilapor positif, kuarantin dan sebagainya, kalau PUS pula memang patutlah majikan arahkan pekera untuk bekerja.

“Kerana pekerja tidak diisytihar sebagai kontak rapat dengan mereka yang dikenal pasti positif.

“Tetapi, kita berpandangan bahwa, oleh kerana kita hendak mencegah penularan ini sebaik-baiknya syarikat kalau hendak suruh pekerja itu bekerja, kena buat swab test.

BACA: Majikan degil, paksa kontak rapat masuk kerja?

“Pandangan MTUC adalah, sebenarnya pihak syarikat kena mainkan peranan untuk membanteras dan mengurangkan kadar jangkitan.

“Kalau syarikat itu sudah tahu bahawa pekerjanya adalah kontak rapat, boleh ambil tindakan lain selain daripada suruh mereka datang bekerja.

“Langkah yang terbaik adalah buat swab test, itu yang paling terbaik untuk jaminan kepada syarikat dan pekerja.

“Kalau syarikat pandai sendiri memutuskan siapa kontak rapat ataupun tidak, pertama pekerja itu kena laporkan kepada KKM bahawa rakan mereka sudahpun disahkan positif.

Hanya KKM tentukan siapa PUI, PUS

“Biasanya KKM akan datang dan mereka akan sahkan siapa PUS dan siapa PUI. PUI dan PUS itu hanya KKM sahaja yang boleh sahkan, bukan majikan.

“KKM ada kuasa untuk tutup dan sebagainya.

“Jika majikan mengarahkan kontak rapat bekerja, pekerja boleh buat laporan kepada Jabatan Kesihatan yang terdekat.

“Jadi, KKM yang akan siasat dan buat keputusan bukannya majikan.”

Demikian kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

KAMARUL BAHARIN MANSOR

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan terdapat majikan didakwa menggesa pekerja bekerja selepas lebih lima orang daripada mereka dikenal pasti positif Covid-19.

Majikan tersebut juga didakwa memutuskan sendiri sama ada kakitangan tertentu sebagai kontak rapat dan mendapat nasihat daripada KKM untuk memastikan pekerja kembali bekerja.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin meminta kakitangan yang berada dalam situasi sedemikian membuat laporan kepada KKM di cawangan Jabatan Kesihatan terdekat.

Selain itu, laporan terhadap majikan juga perlu dibuat kepada Jabatan Tenaga Kerja dan dimaklum juga kepada MTUC untuk tujuan tindakan susulan.

Pekerja jangan takut buat aduan

Tambahnya, pekerja tidak boleh diberhentikan kerja jika membuat aduan kepada KKM atau JTK mengenai penularan wabak dan SOP pencegahan Covid-19.

“Pekerja tidak boleh diberhentikan kerja jika membuat aduan mengenai Covid-19.

BACA: Majikan, pekerja tak boleh ingkar SOP ditetapkan

“Kalau hal itu terjadi, biasanya syarikat akan paksa pekerja tak mengaku, tidak bayar gaji dan sebagainya.

“Jadi kita faham, pekera takut syarikat tak bayar gaji, itu biasanya berlaku.

“Tetapi, satu cara adalah hantar aduan tanpa nama serahkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ataupun KKM.

“Minta KKM dan JTK cop laporan yang dihantar dan salinan itu boleh diberikan kepada MTUC supaya boleh dipantau.

“Jadi, MTUC akan follow-up dengan KKM ataupun JTK. Sekurang-kurangnya tiada pendedahan mengenai pekerja yang membuat aduan didedahkan,” jelasnya. – SM

(Visited 1,906 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button