Ekonomi

Majikan boleh mohon PSU 4.0 bernilai RM3.8 bilion mulai 1 Ogos

MAJIKAN boleh membuat permohonan Program Subsidi Upah (PSU) bernilai RM3.8 bilon bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, PSU 4.0 menepati sasaran 242,000 majikan dan meliputi lebih daripada 2.5 juta pekerja di seluruh negara.

“Dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion, PSU 4.0 akan disalurkan kepada majikan yang layak dan terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan.

“Kadar RM600 untuk setiap pekerja dikekalkan dalam PSU 4.0 ini, yang terbuka kepada semua sektor ekonomi untuk dua bulan pertama, manakala dua bulan seterusnya adalah khusus bagi sektor-sektor di dalam kategori senarai negatif,” katanya

Dalam Laporan Agensi Pelaksana Ekonomi dan Kordinasi Strategik Nasional (Laksana) ke-62 yang dikeluarkan hari ini, Tengku Zafrul juga berkata, syarat permohonan subsidi tersebut juga telah ditambah baik iaitu tiada had gaji pekerja ditetapkan untuk PSU 4.0 berbanding had gaji RM4,000 ke bawah dalam bantuan PSU sebelum ini.


Selain itu, majikan juga disyaratkan untuk memasukkan maklumat subsidi ke dalam slip gaji pekerja.

Majikan boleh membuat permohonan PSU 4.0 dengan mengemukakan permohonan menerusi portal PRIHATIN di pautan https://prihatin.perkeso.gov.my .

Sementara itu, sejak 15 julai lalu kerajaan telah membuka pendaftaran Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) untuk
membantu pekerja yang mencarum dengan Perkeso dan kehilangan pekerjaan meneruskan kelangsungan hidup serta mendapatkan peluang pekerjaan baharu.

Bantuan di bawah program SIP Prihatin 2.0 itu turut diperluaskan kepada golongan bukan pencarum Perkeso termasuk graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

“Pencari kerja juga perlu menghadiri sekurang-kurangnya tiga temuduga dalam sebulan, sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi melayakkan mereka menerima insentif EMP sebanyak RM300 sebulan selama tempoh 2 bulan.

“Sekiranya pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal MYFuturejobs, insentif tambahan sebanyak RM400 akan diberikan kepada mereka. PERKESO mensasarkan seramai 229,000 pencari kerja akan mendapat
manfaat daripada bantuan ini,” kata Tengku Zafrul.

Turut dibuka untuk pendaftaran adalah insentif PenjanaKerjaya 3.0 dan Program Kerjaya Gig yang dilaksanakan oleh Perkeso di bawah Pemulih dari 15 Julai sehingga 31 Disember.

Majikan yang menggajikan pekerja bermula 15 Jun dan seterusnya layak untuk memohon insentif pengambilan pekerja di bawah program-program tersebut.

Bantuan itu untuk merangsang pewujudan pekerjaan baharu dan menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan khasnya, selain memperluaskan jaringan perlindungan sosial kepada pelbagai lapisan masyarakat dan meringankan beban mereka ketika krisis COVID-19.-SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button