
MAIWP Pilih Bank Rakyat Sebagai Mutawalli Wakaf Tunai Pertama di Malaysia
KUALA LUMPUR, 2 Julai 2025 – Bank Rakyat mencipta sejarah apabila secara rasmi dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai bank pertama di Malaysia yang memegang amanah sebagai Mutawalli, iaitu pihak yang bertanggungjawab menguruskan kutipan, pentadbiran dan agihan dana wakaf tunai.
Pelantikan tersebut dimeterai dalam Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pelantikan Mutawalli di Menara Kembar Bank Rakyat dan disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak.
Menurut Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, pelantikan rasmi yang diterima pada 30 Disember 2024 itu merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepercayaan yang diberikan kepada institusi tersebut. Proses pelantikan berlangsung secara terancang dan mengambil masa lebih setahun, bermula dengan kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 2 April 2024 dan berakhir dengan pelaksanaan rasmi Wakaf Tunai Bank Rakyat pada 1 Jun 2025.
“Setiap langkah pelaksanaan mencerminkan komitmen terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan pematuhan Syariah. Kami bertekad untuk melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin,” ujar beliau.
Inisiatif ini dilaksanakan menerusi platform rasmi yang dinamakan Jāriah Al-Barakah, yang akan memfokuskan kepada kutipan dan pengurusan dana wakaf secara sistematik dan inklusif. Sebuah Jawatankuasa Pengurusan Bersama telah ditubuhkan yang merangkumi wakil MAIWP, Bank Rakyat dan pakar Syariah serta kewangan Islam, dengan Prof. Dr. Azman Mohd Noor dari UIAM sebagai pengerusi.
Datuk Mohd Irwan turut menyeru masyarakat untuk menyokong inisiatif ini sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang memberikan ganjaran berterusan.
Sumbangan kepada wakaf tunai boleh dibuat melalui imbasan Kod QR, pindahan terus ke akaun Bank Rakyat (1101464122), JomPAY (Kod Biller 26492), atau platform digital ToyyibPay di https://toyyibpay.com/Jariah-Albarakah.