Nasional

Pelajar UPM hasilkan ‘face shield’ untuk Hospital Tawau

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menyerahkan 1,000 ‘face shield’ yang dihasilkan oleh pelajarnya kepada Hospital Tawau, Sabah untuk kegunaan petugas barisan hadapan menangani pandemik COVID-19.

Penyerahan ‘face shield’ itu dilakukan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman kepada Penolong Pengarah Hospital Tawau, Dr Pang Chun Shong.

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata program itu adalah inisiatif pelajar UPM untuk menyumbang kepada usaha meratakan keluk wabak dan menzahirkan sokongan kepada barisan hadapan memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, penghasilan ‘face shield’ itu dimulakan pada 17 Okt lalu dan mendapat sokongan penuh daripada Pengurusan Universiti.

“Sepanjang lima hari, kira-kira 100 orang sukarelawan terlibat dengan tugasan ini. Setiap hari seramai 20 orang pelajar mengambil giliran bertugas menyiapkan ‘face shield’ dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya pada majlis itu yang diadakan secara persidangan video di UPM di sini pada Rabu (21 Okt), dengan Dr Pang yang berada di Tawau.

Dr. Mohd Roslan (empat dari kanan), Prof. Dr. Arifin (empat dari kiri), bersama pegawai UPM dan wakil MPP bergambar dengan Dr.Pang di paparan skrin televisyen yang menyertai majlis itu melalui persidangan video.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu; Ketua Pentadbiran (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Shahriman Hashim; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Alif Akmal Omar; serta Ketua Projek dari MPP, Victoria Nacgee.

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata penyerahan ‘face shield’ itu adalah sumbangan pelajar yang prihatin dengan tugasan dan pengorbanan besar petugas barisan hadapan

Dr Pang melalui sidang video itu berkata, pihaknya menghargai sumbangan UPM dan pelajar-pelajarnya, yang juga merupakan satu bentuk sokongan moral untuk petugas barisan hadapan.

“Sama-samalah kita menjaga diri dan kesihatan, sama-samalah kita menangani COVID-19. Kita belum menang tetapi sama-samalah kita buktikan kita boleh menang akhirnya nanti dalam peperangan melawan COVID-19 ini,” katanya.

Alif Akmal pula berkata MPP dan pelajar UPM berbesar hati dapat memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan, dan ia adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPP.

Katanya, ia adalah kali kedua pihaknya menghasil dan menyerahkan ‘face shield’ kepada petugas barisan hadapan, dengan kali pertama pada April lalu apabila kira-kira 5,000 ‘face shield’ dihasil dan diedarkan untuk petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur dan Selangor. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button