Agama

MAIPs tumpu kepada pembangunan infrastruktur

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pihak pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) buat masa ini sedang menumpukan usaha-usaha bagi merealisasikan beberapa projek pembangunan fizikalnya termasuklah pemantauan terhadap pelaksanaan pembangunan Kompleks MAIPs yang akan menjadi ibupejabatnya di Kangar menjelang tahun 2024.

Selain daripada itu, pihak pengurusan MAIPs juga sedang memberi fokus kepada beberapa projek mercu tanda yang sedang dirancang berkaitan Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 seperti Klinik Pakar Katarak, Kampus Tetap Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Muzium 4 Mazhab, Asrama Sekolah Agama Rakyat, Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis dan sebagaInya.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Ikram Kampung Sena untuk diagihkan oleh amilnya, Mazlan Ahamad.

Penyerahan tersebut diadakan di Yanies Rest House Chalet and Pool yang baru sahaja mula beroperasi di Kubang Siput sejak seminggu yang lalu. Baginda turut berkenan menanam sepohon pokok bunga kertas sebagai simbolik kenangan atas keberangkatan ke chalet yang mempunyai 10 buah bilik untuk disewa dan juga kolam renang tersebut.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda turut mengucapkan tahniah atas inisiatif Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang pada penghujung minggu yang lalu telah berjaya menganjurkan Hari Kerjaya Temuduga Terbuka MAIPs yang membuka peluang kepada 400 hingga 600 jawatan untuk direbut oleh masyarakat negeri Perlis khususnya golongan asnaf dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button