Rencah Hidup

Dari litar lumba, Wazi kini pengedar telur masin

BERMULA dengan pertemuan mendapatkan bekalan untuk penyediaan makanan bagi petugas barisan hadapan COVID-19 pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bekas jaguh cub prix negara Wazi Abdul Hamid kini bergelar usahawan telur masin.

Wazi, 50, berkata beliau tertarik dengan potensi produk keluaran Bumiputera daripada Projek Ladang Integrasi Sosial milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu selepas bertemu dengan pengeluar yang mendermakan telur masin tersebut sebagai sokongan terhadap usaha kebajikan.

“Saya kemudian dilantik sebagai pengedar selepas berjaya menjual ribuan telur masin jenama Pegro berkenaan memandangkan saya mempunyai ramai kenalan dalam aktiviti permotoran,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang pengeluaran telur masin itu di Tanjung Tualang di sini.

Wazi yang bersara daripada sukan permotoran pada 2006  berkata beliau kemudian menjenamakan semula telur masin itu kepada ‘Telur Masin Wazi’  namun masih dijual pada harga yang disyorkan PPPNP iaitu RM35 sekotak mengandungi 50 biji dan RM5 bagi pek empat biji.

“Kebanyakan tempahan dihantar sendiri oleh saya dengan caj penghantaran hanya RM5 walaupun ke negeri-negeri lain,” katanya, menambah sehingga kini beliau telah menjual 400 kotak mengandungi 20,000 biji telur masin di sekitar Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.

Beliau berkata setakat ini Telur Masin Wazi hanya boleh ditempah secara dalam talian menerusi akaun Facebook miliknya selain turut ditempatkan di Global Ikhwan di Rapat Setia dan kedai menjual produk makanan keluaran Muslim di Meru, Ipoh.

Sementara itu, Pengurus Operasi Pertanian Integrasi PPPNP Maghribi Mohamed berkata telur masin yang dikeluarkan dengan kerjasama Perak Agro Tourism Resort sejak 2014 itu tidak terlalu masin berbanding produk sama syarikat lain kerana kadar pH ditetapkan pada tahap lima.

“Sekarang kami menggunakan resipi sendiri iaitu tanah liat, garam dan sekam padi berbanding dahulu bancuhannya dibeli daripada pihak lain, manakala pemprosesan disertai bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebelum diperam selama 15 hari,” katanya.

Menurutnya mereka menghasilkan 1,300 telur sehari iaitu 80 peratus daripada 1,693 ekor itik yang diternak di ladang berkeluasan dua hektar berkenaan.

Maghribi berkata mereka merancang menambah 1,000 ekor itik jenis Kaki Hitam atau ‘Khaki Campbell’ pada Julai ini dengan sasaran 5,000 ekor itik menjelang penghujung tahun.

“Kita beli anak itik ini pada usia dua hari dengan harga RM3.50 seekor dan itik ini mula bertelur pada usia seawal 11 bulan sehingga usianya mencecah tiga tahun,” katanya, menambah permintaan terhadap telur masin meningkat lebih sekali ganda semasa PKP berbanding kebiasaan kira-kira 10,000 biji sebulan.- BERNAMA

 

(Visited 430 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button