Acara

MAIPs terima sumbangan 300 buku Syeikh Yusuf Al-Qaradawi

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima sumbangan sebanyak 300 naskhah buku ‘Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, Sebuah Autobiografi : Sang Pelita Umat’ yang mengisahkan perjalanan hidup Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi sejak kecil sehingga menjadi seorang ulama terkemuka, termasuk perjuangannya dalam bidang dakwah dan ilmu pengetahuan, serta diterbitkan di Malaysia oleh Kumpulan Darul Fikir Sdn Bhd yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat Johawaki Holdings Sdn Bhd yang akan diagihkan kepada semua masjid-masjid di Negeri Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan majlis penyempurnaan penyerahan sumbangan tersebut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Datuk Johari Mat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor sempena keberangkatan Baginda ke Galeri Buku Darul Fikir, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Sebanyak 100 naskhah Al-Quran Rasm Uthmani Bertajwid terbitan Darul Fikir pula disumbangkan kepada Sekolah Muslim Wittaya di Phuket, Thailand, yang akan disampaikan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Fikir Sdn Bhd, Datuk Mohd Zaki Ahmad.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 50,000 naskhah buku ‘Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam’ karangan Dr. Taha Jabir Fayyadh Al ‘Alwani, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), telah disumbangkan untuk sekolah-sekolah menengah, institutusi-institusi pendidikan Islam, pusat latihan serta sekolah-sekolah agama di Negeri Perlis, dan diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, kepada pihak MAIPs.

Majlis ini turut dihadiri oleh Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),Datuk Sri Dr. Syed Hussein Abd. Kadir Al Habshee serta Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Majlis sumbangan tersebut turut diserikan lagi dengan satu forum yang diadakan secara santai membincangkan berkaitan “Perubahan Iklim Global dan Tanggungjawab Kita”.

Sebagai rekod, Darul Fikir telah mula beroperasi pada tahun 1984 dengan misi menjadi penerbit dan percetakan buku terkemuka dan juga memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Syarikat ini telah mengumpul, menerbit dan mengedar judul-judul tempatan dan antarabangsa yang merangkumi pelbagai genre. Selain daripada aktiviti penerbitan dan percetakan, Darul Fikir turut menyediakan kelas pembelajaran kaedah IQRA’ dan Al-Quran untuk guru-guru Sekolah Kebangsaan dan KAFA di seluruh Malaysia melalui Akademi Al-Quran Darul Fikir.

Foto : Ihsan MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button