fbpx
Nasional

MAIPs selaraskan bantuan pelajar IPT terkandas

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melaksanakan penyelarasan agihan bantuan kepada pelajar-pelajar institusi Pengajian Tinggi yang berkemungkinan terkandas ekoran penangguhan pendaftaran semula kemasukan ke kampus.

Langkah berkenaan dilaksanakan bagi membantu para pelajar yang terkesan serta terkandas di Perlis dengan melibatkan kerjasama pengurusan pelajar di IPT seluruh negeri ini.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima persembahan sumbangan zakat perniagaan oleh anak syarikat MARA, Rural Capital Berhad di Kuala Perlis semalam.

Rural Capital Berhad yang merupakan sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah dikorporatkan pada 2 Julai 2013 bagi menjalankan aktiviti pembiayaan dan pengurusan hutang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Dr Mahadir Ibrahim mempersembahkan mock cek zakat perniagaan bernilai RM 95,879 kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda mengingatkan seluruh rakyat di negeri ini supaya terus melipatgandakan usaha dalam membudayakan norma baharu yang merupakan tugas dan tanggungjawab semua masyarakat bagi membendung penularan COVID-19 ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa berwaspada serta mengamalkan amalan ‘3W’ iaitu ‘Wash’, ‘Wear’ dan ‘Warn’ sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.


(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button