
MAIPs Salur RM288,000 untuk Bantu Pelajar Tingkatan Enam Perlis
27 Jun 2025 | Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sejumlah RM288,000 bagi membantu 240 pelajar Tingkatan Enam Semester 2 daripada sembilan sekolah menengah di seluruh Perlis yang berada di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.
Setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM1,200, dalam usaha meringankan beban kewangan pelajar pra universiti serta menggalakkan kecemerlangan pendidikan di peringkat menengah atas.
Simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang mengurniakan sumbangan itu kepada Pengarah JPN Perlis, Rose Aza Che Ariffin dalam satu majlis di Masjid Darul Ibadah, Padang Behor, Kangar. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Mohd Nazim, sumbangan tersebut adalah cerminan komitmen MAIPs dalam memperkasa potensi pendidikan anak-anak Perlis, khususnya dalam program Pra Universiti.
“MAIPs menyedari bahawa pelaburan terhadap pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang sangat penting. MAIPs berharap sumbangan ini bukan sekadar meringankan beban, tetapi turut menjadi dorongan moral kepada para pelajar untuk terus cemerlang dan membina masa depan yang lebih gemilang,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru para pelajar agar tidak mudah berputus asa sekiranya gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, kerana tingkatan enam masih menjadi platform bernilai di bawah seliaan JPN Perlis.
“Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi adalah proses perubahan minda dan jiwa ke arah yang lebih baik. Jadikanlah permulaan tahun baru hijrah ini sebagai titik tolak untuk menjadi insan lebih berdaya tahan, lebih berdisiplin, dan lebih bersungguh-sungguh,” tambah beliau.
Dalam pada itu, prestasi STPM 2024 menunjukkan pencapaian membanggakan apabila Perlis mencatat PNGK 2.87, mengatasi purata kebangsaan 2.85, dengan 98.78% calon lulus penuh dan 20 calon memperoleh PNGK 4.00, berbanding 16 orang pada tahun sebelumnya.