Berita

MAIPs rakam penghargaan atas kejayaan sepanjang 2019

Jeddah, Arab Saudi –  Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan semua pihak yang telah melakarkan kecemerlangannya sepanjang tahun 2019 yang lalu.

Pelbagai kejayaan telah diperolehi MAIPs antaranya dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif transformasi asnaf yang baharu melalui kolaborasi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang menawarkan peluang-peluang latihan dan penempatan pekerjaan selain pelaksanaan ‘Program Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf’ ke arah mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.

Selain itu, MAIPs turut menyempurnakan penawaran ‘Biasiswa Kursi Jamalullail’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pelbagai bidang pendidikan dan penyelidikan serta turut melestarikan penawaran biasiswa MAIPs di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Dari sudut peningkatan dan penempatan asnaf pula, MAIPs telah memperkenalkan inisiatif ‘Bantuan Mikro Baikpulih Rumah’ di samping ‘Bantuan Sebuah Kediaman dan Baikpulih Penuh Kediaman’ di bawah ‘Program Kediaman MAIPs Peduli’. Penambahbaikan pada pelan ‘Bantuan Sebuah Kediaman MAIPs Peduli’ turut dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Sehubungan itu, masyarakat adalah diseru untuk terus memberikan sumbangan zakat dan wakaf melalui MAIPs untuk terus meluaskan manfaat kepada golongan sasar.


Denikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media MAIPs selepas berkenan mengurniakan sumbangan MAIPs untuk ‘Tabung Ibnu Sabil’ kepada Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Alauddin Md Noor dan Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Haji Mohammad Saimi Mat Som yang diadakan di Elaf Jeddah Hotel Red Sea Mall Jeddah, Arab Saudi pada petang semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat, anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda sekeluarga yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noir selepas berada di tanah suci untuk mengerjakan ibadat umrah disambut oleh Timbalan Konsul Haji Malaysia, Affandi Abdullah serta Ketua Canseri Malaysia di Jeddah, Muhammad Hafiz Bahar.

(Visited 19 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button