Agama

MAIPs rai 13 pelajar asnaf

KANGAR: Seramai 13 pelajar asnaf telah diraikan dalam satu majlis pelepasan istimewa bagi mengikuti Program Latihan Kemahiran ‘Zero to Hero’ anjuran Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM), dengan tajaan penuh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Majlis pelepasan yang berlangsung di Dewan Kuliyyah MAIPs disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengukuhan MAIPs.

Para pelajar akan melanjutkan latihan profesional selama empat bulan di The Welding Institute (TWI), sebuah institusi latihan bertaraf antarabangsa, dengan keseluruhan kos tajaan berjumlah RM383,500. Program ini turut menjurus kepada penempatan pekerjaan selepas tamat latihan, selaras dengan objektif MAIPs memperkasakan ekonomi asnaf melalui peningkatan kemahiran dan peluang kerjaya.

Majlis dimulakan dengan sesi ‘Bangun Jiwa dan Motivasi’ yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, diikuti oleh perkongsian inspirasi oleh Ahli Lembaga Pengarah ATAM, Datuk Md Silmi Abd Rahman.

Dalam titah ucapan YAM Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Baginda menzahirkan harapan agar semua peserta memberikan komitmen tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu serta kemahiran sebagai bekalan masa depan.

“Saya berharap adik-adik semua dapat menumpukan perhatian dalam tempoh latihan ini dan kembali kelak bukan sahaja untuk membantu keluarga, tetapi turut menjadi contoh dan pemangkin semangat kepada rakan-rakan yang lain,” titah Baginda.

Turut hadir, Eksekutif ATAM, Nur Farhana Junaidi, yang sentiasa terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pemantauan pelaksanaan program berimpak tinggi ini.

Program ‘Zero to Hero’ merupakan antara inisiatif strategik MAIPs dalam memperkukuh kebolehpasaran golongan asnaf melalui model pendidikan teknikal berasaskan kebajikan dan pemberdayaan diri.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button