Nasional

Covid-19: 54 kes baharu, 45 kes libatkan warga asing

JUMLAH kumulatif kes COVID-19  yang telah pulih sepenuhnya dan telah didiscaj daripada wad kini mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya merekodkan 65 lagi kes pulih baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes mereka yang telah pulih sebanyak 4,929.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan 54 lagi kes baharu dengan 45 kes membabitkan bukan warganegara, menjadikan kes positif COVID-19 kini berjumlah 6,589 kes.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 54 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes dari luar turut dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, dengan tiga kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 108 kes.

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tabung COVID-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas berjaya mengumpul dana sumbangan pelbagai pihak berjumlah  RM40.2 juta setakat 7 Mei lalu.

Beliau berkata sumbangan itu telah disalurkan untuk membantu rakyat negara ini yang terkena jangkitan wabak berkenaan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Ihsan Kematian.

Dalam sidang media harian di sini, hari ini, Ismail Sabri menjelaskan Bantuan Khas Hilang Pendapatan, diberikan kepada mereka yang dirawat kerana positif COVID-19 atau kontak rapat kepada pesakit yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PPP).

“Mereka yang layak memohon bantuan ini adalah warga Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan PPP dan diarahkan kuarantin  oleh  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Ismail Sabri berkata selain itu bantuan itu juga layak dipohon oleh mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani menjalani rawatan di wad hospital ekoran COVID-19 dan akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin.

Bagaimanapun, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan  tidak layak menerima bantuan itu.

Menurut beliau, setakat ini seramai 94 individu telah menerima bantuan ini berjumlah RM125,700.

Bagi Bantuan Ihsan Kematian pula, sebanyak RM5,000 diberikan kepada waris mereka yang telah terkorban akibat jangkitan virus berkenaan dan mengikut rekod seramai 71 waris telahpun menerima bantuan itu berjumlah RM355,000.

Pada masa yang sama sebanyak RM25.2 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara sebagai bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat wabak itu.

Atas keprihatinan terhadap individu yang terjejas dengan jangkitan COVID-19, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac melancarkan tabung khas bagi memberi bantuan kewangan kepada pihak yang memerlukan.

Muhyiddin berkata untuk permulaan, bantuan ihsan sebanyak RM1juta disalurkan ke dalam tabung itu bagi membantu pesakit yang tidak mempunyai pekerjaan dan terganggu kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih. – BERNAMA

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button