Berita

MAIPs pertingkat aktiviti mengantarabangsa organisasi

SEPANJANG tahun 2019, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya melaksanakan beberapa aktiviti ke arah mengantarabangsakan organisasi berkenaan di persada dunia.

Antaranya adalah Pelancaran Buku ‘Salasilah Perlis: Asal Usul Pemerintahan Jamalullail’ yang dilaksanakam di Frankfurt, Jerman pada 17 Oktober 2019, ‘Seminar Antarabangsa Tajdid Serantau’ Kali Pertama di Pekan Baru, Riau, Indonesia pada tanggal 11 November 2019, Kolaborasi bersama pihak Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia, Pelaksanaan Program ‘Regional Dakwah Conference’ di Putrajaya bermula pada 1 November 2019 dan sebagainya.

Selain itu, Program Ziarah Mahabbah bersama 6 Majlis Agama Islam Wilayah Andaman Thailand terus dilaksanakan pada kali ini mengikut gilirannya di Wilayah Ranong pada bulan Januari 2019.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri pertemuan di antara kepimpinan Universitas Syiah Kuala (USK) Aceh Indonesia dengan MAIPs di Kuala Perlis pada malam semalam.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Prof Emeritus Datuk Dr Ir Ts Kamarudin Hussin.

Delegasi USK Aceh yang berada di Perlis selama dua hari bagi mengadakan pertemuan dengan pihak MAIPs, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), KUIPs dan Super Fruit Valley bagi membincangkan pelbagai potensi berkolaborasi itu diwakili oleh Rektornya Prof. Dr. Ir. Samsul Rizal dan Ketua Pejabat Hal Ehwal Antarabangsanya, Dr. Muzailin Affan.

Turut hadir Rektor KUIPs Datuk Kaya Bakti Dr Mohd Radzi Hj Othman, Rektor UiTM Perlis Prof Dr Hj Khudzir Hj Ismail dan Timbalan Naib Canselor UniMAP (Akademik & Antarabangsa) Prof. Ir. Dr. Mohd Rizal Arshad.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs lagi, pihak MAIPs turut menjayakan kolaborasi ke arah objektif “Kegemilangan Antarabangsanya” bersama beberapa pihak dan individu di peringkat global sepanjang 2019 seperti Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr. Maher Al-Muaqly, Setiausaha Majlis Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Syeikh Prof. Dr. Mahmud Qadah, Prof. Dr. Mohamad Khalifah Al-Tamimy, Jamiyyah Dar Al-Bir, UAE, Syeikh Mohammad Al-Kindi selain sumbangan ‘Ibnu Sabil’ diberikan kepada beberapa Kedutaan atau pejabat Konsul Malaysia di luar negara sempena keberangkatan baginda.

Kerjasama di persada antarabangsa ini diharap akan melonjakkan lagi nama MAIPs demi kelestarian jangka masa panjang.

Terdahulu, Samsul dan Muzailin turut menyertai baginda dan anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dalam program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ di sekitar Kg Kg Telok Jambu dan Kg Ujung Bukit di kawasan Bintong.

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button