Nasional

Pokok Hujan-Hujan berusia 137 tahun tumbang di Taman Tasik Taiping

SEBATANG lagi pokok Samanea Saman yang dikatakan berusia berabad lamanya atau  lebih dikenali sebagai pokok “Hujan-Hujan” tumbang di Taman Tasik Taiping.

SUARA MERDEKA difahamkan, pokok ikonik berusia 137 tahun itu tumbang atas jalan raya berikutan angin kencang dan ribut petir yang melanda kawasan tersebut malam tadi.

Jurucakap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, antara tahun lepas dan Februari tahun ini, lima pokok Hujan-Hujan tumbang di atas jalan.

“Kami sedang menunggu laporan arborist (doktor pokok) bertauliah mengenai puncanya,” katanya sambil menambah, satu kenyataan akan dikeluarkan oleh pihak MPT sebaik menerima laporan rasmi daripada arborist bertauliah.

Dilaporkan tahun lepas majlis telah menandai secara rasmi 113 pokok Hujan-Hujan di taman itu dan menyelenggara lebih 1,300 jenis pokok lain dengan bantuan daripada arborists dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Pada 1 Oktober tahun lepas, salah satu pokok Hujan-Hujan telah diisytiharkan secara rasmi “mati” kerana struktur dan akar penambatnya yang lemah.

Pokok berhampiran jeti Taman Tasik Taiping itu sebelum ini tumbang pada 20 Januari 2018 lalu akibat hujan lebat.

Sebelum ini, kawasan taman itu adalah kawasan perlombongan tetapi selepas diubah suai, ia menjadi Taman Tasik Taiping.

Taman Tasik Taiping adalah taman awam pertama yang ditubuhkan semasa pemerintahan British di Tanah Melayu pada tahun 1880 dan ditadbir sepenuhnya oleh majlis. – SM

 

(Visited 582 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button