Berita AutoEkonomi

Jualan kenderaan melonjak 5.2 peratus pada Okt 2020

JUALAN kenderaan di Malaysia melonjak 5.2 peratus kepada 56,670 unit pada Oktober 2020 berbanding 53,870 unit pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA berkata jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 51,795 unit pada Oktober 2020 berbanding 48,987 pada Oktober 2019 bagaimanapun jualan kenderaan perdagangan susut sedikit kepada 4,875 daripada 4,883.

Bagi bulan ke bulan, jumlah jualan pada Oktober 2020 juga menokok 0.4 peratus daripada September 2020, katanya.

“Jumlah jualan yang lebih tinggi pada Oktober 2020 disumbang oleh pelancaran model baharu dan kempen promosi agresif sedang dijalankan oleh syarikat kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, MAA berkata, jualan merosot kepada 398,159 unit berbanding 496,855 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dari segi jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 58,631 kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2020 berbanding 55,775 unit pada bulan yang sama tahun tahun sebelumnya.

“Pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 55,063 unit pada Oktober 2020 berbanding 52,191 unit pada Oktober 2019, manakala pengeluaran kenderaan perdagangan menyusut kepada 3,568 unit daripada 3,584 unit sebelumnya,” katanya.

Mengenai unjuran bagi November 2020, MAA menjangkakan kuantiti jualan yang lebih rendah berbanding Oktober 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi semua negeri di Malaysia kecuali Perlis, Pahang and Kelantan.

“Selain itu, ia juga disebabkan kehadiran ke bilik pameran kereta yang berkurangan,” katanya. – BERNAMA

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button