MAJLIS Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) giat memperkasa kempen “Wakaf Tunai Am” di kalangan umat Islam di negeri ini supaya kesedaran berwakaf dapat dipertingkatkan.
Kempen “Wakaf Tunai Am” ini memberi peluang kepada orang ramai berwakaf yang meliputi inisiatif-inisiatif seperti Wakaf Tunai Manfaat Am; Wakaf Al-Quran dan Kitab; Wakaf Pusat Komuniti; dan juga Wakaf Ma’ As-Sabil (Air).
Selain itu MAIPs juga menawarkan”Wakaf Tunai Khas” yang meliputi beberapa projek meliputi kesihatan, pendidikan, pembinaan surau dan juga masjid.
Antaranya Wakaf Khas Pusat Autisme Negeri Perlis (A-Heart); Wakaf Khas Pusat Rawatan Katarak MAIPs dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF); Wakaf Khas Penyelenggaraan dan Pembinaan Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam.
Juga Wakaf Siyanah (Penyelenggaraan Harta Wakaf); Wakaf Khadamad (Perkhidmatan, Kepakaran); serta Wakaf Pendidikan Tinggi: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan juga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs sebanyak RM700, beras serta kotak makanan kepada tiga penerima asnaf.
Penerimanya Zaharah Ismail, 85 mengalami sakit tua, Salehudin Mohamad, 63 yang mempunyai masalah kesihatan dan Meriam Nopiah, 80 sakit saraf dan sendi.
Keberangkatan Baginda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang singgah di rumah penerima sempena ‘Program Berbasikal Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf’ di sekitar Kampung Santan dan Kampung Alor Sena. – SM