Politik

Muafakat Nasional nampak tidak hidup tapi belum mati – Tuan Ibrahim Tuan Man

MUAR 4 Mac – Hubungan antara Pas dan UMNO dalam membentuk Muafakat Nasional (MN) ibarat ‘retak menanti
belah’ serta boleh berkecai pada bila-bila masa.

Menyimpulkan kedudukan tersebut, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melabelkan MN
tidak nampak seperti hidup walaupun ia tidak mati.

Menjelaskan perkara itu lagi, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, setakat ini tiada siapa antara
kedua-dua parti itu mengisytiharkan MN telah ditamatkan.

“Belum ada kubur, belum ada batu nisan. Cara prinsipnya MN tak nampak hidup tapi tak mati.

“Statusnya sebagaimana ada. Ia masih ada, setakat ini tiada parti yang isytiharkan tarik diri atau
dibubarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berceramah di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN)
Simpang Jeram di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan
calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ustaz Zarul Salleh.

Hubungan antara Umno dan PAS dilihat seolah-olah tidak lagi dapat mencari kesepakatan selepas parti Islam
itu menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu).

Piagam kerjasama antara kedua-dua parti itu dimeterai hampir lebih dua tahun itu semakin meruncing bermula
apabila UMNO bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disusuli pula pada PRN Johor.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, sejak beberapa bulan yang lalu mesyuarat jawatankuasa induk MN yang
diwakili oleh beliau dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak lagi diadakan seperti
lazim sewaktu gabungan itu mula dimeterai.

“Memang sudah lama kami tidak mengadakan mesyuarat MN begitupun saya ada menghubungi beberapa pemimpin
tertinggi UMNO.

“Jadi kita tak nak bincang pasal MN biar kita tutup fail dulu sementara kita sebab untuk menghadapi PRN
Johor.

“Pas tetap bersama PN dan kita tidak menoleh ke belakang lagi. Kalau menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU-15) Pas lebih yakin bersama PN serta akan menghadapi siapa sahaja,” ujarnya lagi.

Ditanya usaha untuk menyelamatkan MN yang kian meruncing hubungan kedua-dua parti Tuan Ibrahim berkata,
situasi itu bergantung kepada keadaan yang menentukan mungkin selepas berakhirnya PRN Johor nanti.

Begitupun jelasnya, PAS tetap berpendirian terus memperkukuhkan hubungan lebih mantap bersama PN. – SM

 

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button