Rencana

Kit Siang undi Muhyiddin terus jadi PM?

SEHARI sebelum pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021 berlaku, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang melontarkan persoalan sama ada ianya akan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri yang berkhidmat paling singkat dalam sejarah.

“Adakah Belanjawan 2021 akan ditolak esok dengan Muhyiddin dijatuhkan, menjadi Perdana Menteri terpendek dalam sejarah negara?

“Esok dijangkakan menjadi hari utama untuk dua persoalan: Sama ada Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Parlimen dan sama ada Muhyiddin Yassin bakal dijatuhkan sebagai Perdana Menteri, menjadi Perdana Menteri dengan tempoh berkhidmat yang terpendek dalam sejarah,” bagitulah tulisan Kit Siang pada 25 November.

Nampaknya semalam, Kit Siang sendiri memilih untuk tidak menjatuhkan Muhyiddin.

Dia tidak bangun untuk menyokong cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar supaya dilakukan undian belah bahagi untuk menyokong atau menolak Belanjawan 2021.

Dia tidak langsung menyokong rancangan rakan sekutunya itu untuk melakukan undi belah bahagi Belanjawan 2021.

Dia hanya membiarkan 13 orang ahli Parlimen Amanah dan Pejuang berdiri bagi menyokong cadangan Mahfuz. Jumlah yang tidak memadai untuk meneruskan cadangan undi belah bahagi yang memerlukan sokongan 15 orang ahli Parlimen.

Artikel bertarikh 25 November itu bukanlah satu-satunya tulisan Kit Siang berkaitan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam undian peringkat dasar bagi meluluskan Belajawan 2021.

Pada 22 November dia menulis artikel bertajuk, “Adakah Ahli Parlimen UMNO akan berpecah kepada dua puak di mana satu pihak menentang Belanjawan 2021 dan menjatuhkan kerajaan Muhyiddin?”

“Para pemerhati politik sedang mengikuti dengan dekat senario politik semasa untuk melihat sama ada 38 Anggota Parlimen UMNO akan berpecah kepada dua puak, dengan satu puak mengundi melawan Belanjawan 2021 semasa Pembacaan Kedua pada hari Khamis dan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin,” tulis Kit Siang.

Persoalan Kit Siang itu telah dijawab semalam. Tidak ada seroang pun ahli Parlimen UMNO yang bangkit untuk menyokong diadakan undi belah bahagi.

Juga pada 17 November dengan artikel bertajuk, “Adakah Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri pada hari Khamis hadapan, 26 November 2020?

“Beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri pada hari Khamis hadapan jika Belanjawan 2021 ini dikalahkan dalam bacaan kedua di Parlimen, yang dijangkakan akan diundi pada 25 November 2020,” kata Kit Siang.

Semua persoalan Penasihat DAP itu terjawab semalam. Dia sendiri tidak bangun untuk menyokong cadangan Mahfuz untuk meneruskan undi belah bahagi Belanjawan 2021.

Tanpa menyokong cadangan Mahfuz, nampaknya Kit Siang sendiri telah ‘mengundi’ untuk Muhyiddin terus bertahan menjadi perdana menteri selepas Khamis 25 November. Itu adalah hakikat dan fakta.-SM

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button