AgamaNasionalNegeri

MAIPs Majlis Agama Islam pertama terima Anugerah Presiden MIP

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melakar sejarah apabila menjadi Majlis Agama Islam yang pertama menerima “Anugerah Presiden” sempena Majlis Anugerah Perancangan Cemerlang daripada Institut Perancang Bandar Malaysia (MIP) baru-baru ini.

Pengiktirafan penuh bermakna tersebut ialah melalui inisiatif ‘Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis’ bila mana ia telah dinobatkan sebagai ‘Projek Transformasi Berimpak Tinggi Dan Pemerdayaan Komuniti’.

Usaha murni tersebut dijayakan oleh pihak MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan juga pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan; pihak swasta serta individu perseorangan termasuklah anggota masyarakat setempat.

Simbolik penyerahan trofi dan sijil anugerah berkenaan telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs dan juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis.

Ia diadakan sebelum Persidangan MAIPs Bilangan Pertama Bagi Tahun 2023 di Kompleks Islam Perlis, Kangar, semalam.

Trofi dan Sijil tersebut dipersembahkan kepada Tuanku Syed Faizuddin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang hadir menerima anugerah berkenaan bagi pihak MAIPs pada majlis yang diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohd Nazim berkata, anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna atas inisiatif dan teraju Raja Muda Perlis sendiri dan juga puteri sulung Baginda; Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang sentiasa komited dalam memastikan Projek DiRaja berkenaan menjadi kenyataan dan sentiasa ditambah baik demi untuk kesejahteraan hidup masyarakat setempat.

Pada kesempatan yang sama beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama MAIPs dan YTSP Perlis secara langsung mahupun tidak langsung khususnya kepada para penaja dan juga masyarakat setempat dan berharap sokongan padu tersebut akan berterusan di masa hadapan. – SM

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button