Politik

Benarkan pengeluaran RM10,000 KWSP untuk jaga sokongan UMNO – Wong Chen

SAMA ada pendeposit memilih untuk membuat pengeluaran maksima RM10,000 daripada Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), siapa Ahli Parlimen Subang untuk menyatakan langkah itu akan meletakkan 8 juta pendeposit dalam keadaan kewangan yang tertekan?

Wong Chen salah seorang anggota pembangkang semalam beriya-iya menekan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Rahman berhubung pengeluaran KWSP yang dibuat penambahbaikan oleh Menteri berkenaan.

Sikap acuh tak acuhnya yang memberi gambaran, beliau akan membuat undi belah bahagi diperlihatkannya pada sesi Dewan Rakyat semalam ketika berlangsungnya Penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen itu turut mengunjurkan jumlah aliran masuk bersih KWSP dengan memberikan angka sebanyak RM20 bilion sambil menambah, bilangan itu diambil kira deposit RM70 bilion ditolak dengan pengeluaran RM50 bilion.

Dan unjuran yang diberikan oleh Wong Chen dijawab oleh Tengku Zafrul setelah Speaker dewan meminta ahli pembangkang itu senyap dan memberi peluang kepada Menteri Kewangan untuk menjawab soalan yang dilontarkan.

Kementerian Kewangan meberi angka yang tidak masuk akal, dakwa Wong Chen iaitu RM80 bilion aliran masuk bersih.

“Mungkin Menteri Kewangan maksudkan, hanya aliran masuk tanpa mengambil kira aliran keluar,” kata Wong Chen dalam kenyataannya hari ini.

Wong Chen seterusnya berkata, jika Menteri Kewangan meneruskan juga cadangan untuk membenarkan 8 juta pendeposit mengeluarkan RM70 bilion pada tahun depan, KWSP perlu meningkatkan dana sebanyak RM50 bilion dan dengan bebanan itu, defisit kerajaan dijangka berjumlah RM85 bilion pada tahun 2021.

Untuk rekod, sewaktu sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, Tengku Zafrul berkata, KWSP merekodkan RM80 bilion aliran masuk dengan aset terkumpul sebanyak RM960 bilion selepas Wong Chen menegaskan bahawa kumpulan wang pekerja itu dijangka mencatatkan hanya RM20 bilion aliran masuk bersih pada 2021.

Mengulas lanjut, Wong Chen berkata, bagi menanggung defisit itu, kerajaan perlu menerbitkan sukuk dan bon berjumlah RM85 bilion dan kebiasaannya KWSP akan membeli 25% daripada sukuk dan bon berkenaan.

“Oleh itu, KWSP perlu mencari tambahan RM21 bilion untuk melaksanakannya, menjadikan jumlah beban kewangan KWSP sebanyak RM71 bilion iaitu RM50 bilion pengeluaran dan RM21 bilion untuk membeli sukuk dan bon. Itu jumlah yang besar,” ujarnya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan harus memperincikan dan mengubah mekanisme pengeluaran khas KWSP itu kepada kaedah yang lebih munasabah.

“Tindakan yang disengajakan ini akan memberi kesan negatif kepada pasaran dan memberi tekanan tidak perlu terhadap kelestarian KWSP untuk membayar dividen tahunan sebanyak 6% yang disasarkan,” katanya.

Menyelitkan agenda politik dalam rasional lontaran pemikirannya, Wong Chen bertanya, “Mengapa kementerian teruskan perkara ini? Adakah hanya kerana ingin menjaga hati pemimpin UMNO?

“Jika Menteri Kewangan tidak mahu mendengar alasan, maka saya ingin meminta pemimpin UMNO memberitahu Kementerian Kewangan bahawa cadangan itu adalah berlebihan dan mendesak Tengku Zafrul untuk mengkaji semula pengeluaran maksima RM10,000 itu,” katanya. – SM

 

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button