fbpx
Nasional

MAIPs laksana kutipan wakaf dan sumber am

Selain pengurusan zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menguruskan kutipan dan pelaksanaan wakaf dan sumber am.

Pelbagai projek dan inisiatif wakaf telah dilaksanakan. Antaranya adalah pembinaan Bangunan Wakaf MAIPs Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Pusat Pengurusan Jenazah Darul Abrar di masjid lama Kg Kubang Gajah, Centre of Sunnah di masjid lama Arau dan sebagainya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf MAIPs Khas Sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis yang ke 77’ anjuran MAIPs yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al Sobirin, Kampung Gial, Mata Ayer semalam.


Keberangkatan tiba baginda ke program kayuhan bilangan ke 30 bagi tahun 2020 itu disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Hakim Syarie, Ibrahim Deris dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas dan Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Talib.

Mohd Nazim pula memaklumkan bahawa buat masa ini, pihak pengurusan MAIPs juga sedang menumpukan usaha-usaha bagi merealisasikan beberapa lagi projek pembangunan fizikalnya.

Antara yang paling utama ialah bagi memastikan projek pembangunan ‘Kompleks MAIPs’ dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dengan tarikh jangka siapnya ialah pada 17 Julai 2021 serta pada masa yang sama pihak pengurusan MAIPs turut membuka ‘Request For Proposal (RFP)’ bagi usaha memanfaatkan tanah milik MAIPs yang terletak di tapak yang amat strategik iaitu ‘Zero Kilometre Kangar’ di antara Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan bank CIMB.

Tambah beliau, ‘Masyarakat yang bermurah hati ingin menyalurkan sumbangan wakaf dan sedekah boleh melayari laman portal rasmi MAIPs melalui www.maips.gov.my.’

Selain singgah bagi menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Masjid Al Sobirin, baginda dan para peserta yang lain turut singgah di Taman Desa Asnaf MAIPs di Kg Batu Bertangkup yang mana para penghuninya mengusahakan pertanian rock melon, Panggas Village Homestay di Lot 8048 Kg Panggas Besar Chuping yang baru sahaja mula beroperasi baru-baru ini dan juga Al Khamsah yang merupakan kilang SME pertama di negeri Perlis yang mendapat penarafan antarabangsa (GMP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program berakhir dengan jamuan yang dihoskan oleh usahawan Ashidan Mat Isa di Restoran Shamiza Mohd Noor di Km 3 Jalan Guar Nangka. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button