Agama

MAIPs komited perluas kerjasama dengan pelbagai pihak untuk bantu banyak pihak memerlukan

KANGAR: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited untuk terus mengorak langkahnya dalam menambah baik dasar pengagihan zakat dan wakaf sedia ada, serta memperhebatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, badan korporat, dan organisasi bukan kerajaan bagi memperluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai umat Islam yang memerlukan di negeri ini.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, adalah penting bagi semua pihak untuk berganding bahu memperkukuh strategi yang lebih mampan dan inklusif.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Bintong, Kangar.

Program kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini merupakan satu inisiatif berkala yang telah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu. Ia kini menjadi antara platform penting dalam memperluaskan jaringan bantuan serta mendekatkan institusi agama dengan masyarakat negeri Perlis.

Turut menyertai program ini ialah Pengurusan Tertinggi MAIPs, pegawai-pegawai Negeri dan Persekutuan, serta wakil-wakil NGO yang bersama-sama menjayakan usaha penyaluran sumbangan kepada golongan memerlukan.

Sempena kayuhan kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli, dan beras fidyah kepada penerima terpilih.

Tiga asnaf yang menerima sumbangan tersebut ialah Abu Bakar Abu Seman, 87 tahun, dari Kampung Tebing Tinggi; Zulkifli Hashim, 56 tahun, dari Kampung Jarak; dan Basiah Bahari, 47 tahun, dari Kampung Behor Janggus.

Baginda turut berkenan singgah meninjau dan menyampaikan sumbangan projek CSR bantuan baik pulih rumah asnaf atas kerjasama MAIPs dan NGO Perlis Volunteer Action Community (PVAC) bernilai RM20,000 di kediaman Yakob Mahamud di Kg. Wang Ulu, Bintong.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button