Rencana

Di sana rancak, di sini rancak, ayuh rancak bersama

 

DI MANA-MANA orang ramai mengukir senyuman, terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan makanan di bulan Ramadan ini.

Jumlah kes Covid-19 semakin menurun. Orang ramai semakin faham dengan SOP dan semakin yakin untuk keluar berbelanja.

Ekonomi kita sedang pulih kembali dan sedang rancak. Pembukaan sempadan merancakkan lagi aktiviti ekonomi. Ramai yang ke sana dan ke sini melancong walaupun di bulan Ramadan.

Ramai yang gembira kerana masjid juga penuh dengan para jemaah menunaikan solat sunat tarawih, berbanding sebelum ini terpaksa menunaikan solat itu di rumah bersama keluarga.

Selain itu program berbuka, moreh bahkan bersahur juga diatur di sana sini.

Inilah hasil pengorbanan kita sebelum ini berdepan dengan ujian penularan wabak Covid-19 yang meragut nyawa jutaan penduduk dunia.

Kini negara memasuki fasa endemik setelah hampir keseluruhan penduduk negara ini telah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Raya kali ini ramai yang begitu bersemangat membuat persiapan seawal hari pertama berpuasa lagi termasuk membeli pakaian raya, ibarat bagi mengqada beberapa tahun tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan sempurna.

Para peniaga pakaian juga tersenyum lebar, begitu juga tukang jahit tidak menang tangan menerima tempahan, bahkan hotel kucing juga sudah sold out kerana ramainya orang membela kucing semasa tempoh PKP sebelum ini dan kini terpaksa meninggalkan haiwan kesayangan di hotel-hotel untuk pulang ke kampung berhari raya.

Dalam kegembiraan itu juga ramai yang semakin bersyukur dengan nikmat dan rezeki kurniaan Ilahi begitu ringan membantu mereka yang memerlukan supaya Aidilfitri kali ini dapat diraikan bersama-sama.

Namun seperkara yang mulai menjadi kebimbangan tenaga kerja yang semakin kurang kerana ramai yang memilih bekerja sendiri selepas kehilangan pekerjaan semasa tempoh pandemik dan enggan kembali bekerja di pejabat dan menghambakan diri kepada majikan.

Pada masa yang sama proses kemasukan pekerja asing yang terbantut selama ini agak perlahan. Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, bahawa kekurangan pekerja di sektor kelapa sawit menyebabkan kerugian sekitar RM10 bilion.

Ketika harga kelapa sawit sangat tinggi, pemilik ladang tidak dapat mengutip hasil yang maksimum kerana ketiadaan pekerja, khususnya pekerja asing.

Justeru kerajaan perlu melihat kembali bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam hal ini dan pekerja asing dapat dibawa masuk kembali dengan segera bagi memastikan kerancakan ekonomi negara tidak terbantut.

Dalam pada itu marilah kita bersama-sama bersyukur kerana bukan sahaja diberi usia bagi menempuhi Ramadan yang penuh keberkatan dan pada masa yang sama tetaplah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan penularan wabak.

(Visited 238 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button