Berita

MAIPs komited bantu majukan ekonomi umat Islam

Rawalpindi, Pakistan.

Komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang jitu, serta iltizam tinggi Institusi diRaja Perlis dalam menjulang keunggulan pendidikan terzahir dengan peruntukan dalam Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis yang menetapkan peranan MAIPs yang antara lain adalah berkewajipan tentang ekonomi dan sosial orang Islam.
Mengambil kira faktor inilah menjadikan MAIPs terpanggil untuk turut terlibat sebagai penaja bagi 5 buah sekolah untuk diangkat melalui ‘Program Sekolah Amanah’ yang diberi nama “Sekolah Amanah Jamalullail (Jamalullail Trust School)” yang bakal dilancarkan secara rasminya pada hari selasa 3 Mac 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang sempena ‘Satu Kurun MAIPs’.

Hasrat yang terkandung di sebalik pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail hasil kerjasama erat antara MAIPs dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini adalah di bawah kendalian Yayasan AMIR melalui LeapED Services yang bermatlamatkan untuk menambah baik hasil pembelajaran bagi setiap pelajar agar lebih mampan melalui matlamat strategik yang memberi fokus terhadap kepimpinan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa serta masyarakat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan daripada sumber zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM500 kepada Masjid Ayesha yang terletak di dalam Kolej Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal Tentera Pakistan di Rawalpindi ketika mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ ke negara berkenaan baru-baru ini.

Sumbangan yang boleh digunakan untuk tujuan kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan masjid tersebut diserahkan oleh baginda merangkap Yang DiPertua MAIPs kepada Pegawai Agama Pasukan, Leftenan Kolonel Haseeb Khalid yang mewakili pihak masjid itu sambil disaksikan oleh Komandannya Brigedier Jeneral Muhammad Alamgir sejurus selepas selesai lawatan.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Kapten Mohamad Idham Abdullah Thani.

Turut hadir, Penasihat Pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

Tambah baginda yang juga Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis lagi, sedari tahun diasaskan, MAIPs telah menjadikan agenda pendidikan sebagai salah satu usahanya dalam meningkatkan sosio ekonomi ummah. Sebagai contoh, pada tahun 1930, Sekolah Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, Arau ditubuhkan dengan menggunakan dana zakat.

Peranan Institusi DiRaja Wangsa Jamalullail, turut memainkan peranan yang besar apabila Al-Marhum Raja Syed Alwi Jamalullail telah menitahkan agar dibina sebuah bangunan yang lengkap bagi sekolah berkenaan yang direalisasikan pada tahun 1936.

(Visited 59 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button