Agama

MAIPs Kekalkan Prestasi Sijil Audit Tanpa Teguran

Ketua Audit Negara telah memperakukan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tahun 2020 adalah Benar dan Saksama serta menggambarkan gambaran sebenar berdasarkan standard perakaunan yang diperakukan.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan menerima sembah mengadap oleh Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Negeri Perlis, Abd Aziz Che Daud bagi mempersembahkan ‘Sijil Ketua Audit Negara’ terhadap pengauditan Penyata Kewangan MAIPs bagi tahun berakhir 2020 di pejabat baginda di Kangar baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Sijil Audit Ketua Audit Negara Tanpa Teguran terhadap penyata kewangan MAIPs.

Menurut siaran media MAIPs, Abd Aziz merakamkan penghargaan kepada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor yang telah menerajui MAIPs untuk mengekalkan status Sijil Audit Tanpa Teguran bagi tahun kesembilan berturut-turut.

Pengauditan penyata kewangan MAIPs tahun 2020 meliputi pengesahan terhadap item dan angka-angka yang diperakaunkan menepati serta mematuhi standard perakaunan yang diterima pakai. JAN juga membuat penilaian terhadap prestasi agihan zakat tahun semasa bagi memastikan agihan zakat dibuat secara telus, mencapai maksud dan sampai kepada golongan sasar.

Walaupun menghadapi tempoh pandemik Covid-19, MAIPs telah berjaya mengagihkan zakat melibatkan pelbagai inisiatif agihan zakat melibatkan 8 golongan asnaf.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs melahirkan rasa syukur atas kejayaan memperoleh Sijil Tanpa Teguran berkenaan dan berharap agar masyarakat sentiasa memberikan kepercayaan kepada pengurusan MAIPs yang sentiasa mengutamakan elemen amanah dan integriti dalam tadbir urusnya.

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button