NasionalNegeri

MAIPs hargai seorang pekerja pembersihan sanggup jual tanah untuk wakaf dua unit dialisis

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menghargai seorang penyumbang individu, Khalipulizan Mansur, 54 yang telah mewakafkan dua unit mesin dialisis berjumlah RM80,000 di Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar yang terletak di Bangunan Wakaf MAIPs-HTF, Kangar.

Penghargaan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf Kali Ke-11 bagi tahun 2023 di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin kemudiannya berkenan berangkat singgah di tiga rumah asnaf terpilih dalam kariah berdekatan.

Khalipulizan yang berkhidmat sebagai seorang pekerja pembersihan di pusat perkhidmatan dialisis berkenaan telah menyampaikan sumbangan hasil jualan tanah yang dihibahkan kepadanya oleh datuk dan neneknya yang sudah meninggal dunia lebih 10 tahun yang lalu dengan harapan untuk menambah ‘dana saham akhirat’ selain memberikan peluang untuk para pesakit menerima rawatan di pusat perkhidmatan dialisis tempat beliau bekerja.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas semangat yang ditunjukkan oleh Khalipulizan dalam menyuburkan amalan berwakaf dan berharap agar usaha seumpama ini dapat dicontohi oleh anggota masyarakat.

“MAIPs amat berbangga dan menghargai sumbangan wakaf ini kerana sekaligus ia boleh menyuntik semangat MAIPs dalam merealisasikan lagi pelbagai projek inisiatif wakaf di Perlis seperti Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs,” jelas beliau.

Menurut Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab pula, bagi perancangan masa hadapan, MAIPs sedang pesat mengusahakan peluang dana wakaf bagi mewujudkan sebuah Pusat Rawatan Katarak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF selain sedang berusaha melaksanakan projek wakaf Pusat Autisme dengan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Masyarakat yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah berwakaf melalui MAIPs boleh berbuat demikian melalui sumbangan terus ke Dana Wakaf Tunai Am MAIPs sama ada melalui sumbangan sekali beri (one-off) atau melalui potongan gaji bulanan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.maips.gov.my. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button