Nasional

MAIPs capai sasaran cemerlang – Raja Muda Perlis

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Agensi-agensi Agama Islam Perlis yang lain telah mempamerkan kecemerlangan dalam aktiviti dan program mengikut sasaran yang ditetapkan.

Begitu juga dalam aspek pengantarabangsaan di mana MAIPs melalui kerjasama semua telah berjaya mengharumkan nama Perlis dengan mengadakan pertemuan dengan tokoh antarabangsa seperti Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr. Maher Al-Muaqly, Setiausaha Majlis Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Syeikh Prof. Dr. Mahmud Qadah, Prof. Dr. Mohamad Khalifah Al-Tamimy, Jamiyyah Dar Al-Bir, UAE, Syeikh Mohammad Al-Kindi selain turut terus bekerjasama melaksanakan ‘Ziarah Mahabbah Bersama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman, Thailand’ dan sebagainya sepanjang tahun lalu.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ’Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Terpilih (APT) dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Agama Islam Di Bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tahun 2019’ yang diadakan di Pauh Inn Educational Training Centre, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Menurut Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, bagi memastikan (MAIPs) mengekalkan kecemerlangannya, adalah wajar MAIPs mewajibkan calon-calon Pekhidmat Majlis yang akan diambil bekerja selepas ini supaya menyatakan apakah suntikan nilai tambah yang dapat diberi dan disumbangkan dalam Curiculum Vitae (CV) serta pada ketika ditemuduga dalam usaha memajukan lagi MAIPs berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki masing-masing.

Ia amat penting kerana Pekhidmat Majlis adalah tonggak yang melestarikan Visi dan Misi MAIPs dan hanya yang terbaik dan boleh membawa MAIPs ke tahap yang lebih membanggakan diambil untuk menguatkan jentera sedia ada. Ia adalah salah satu usaha untuk memastikan agar MAIPs dapat terus menerus merealisasikan slogannya iaitu: “Menjunjung Syiar, Memaju Ummah”.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah, bagi memastikan APT ini berada dalam kelas tersendiri dan menjadi penanda aras bagi perkhidmatan terpilih dan cemerlang, ianya hendaklah dianugerahkan kepada Pekhidmat Majlis yang memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan penilaian yang dibuat. Oleh itu, APT tidak perlu lagi digilirkan tetapi diberikan hanya kepada penerima yang benar-benar layak dan terbaik dalam perkhidmatannya sepanjang tahun berkenaan.

Pada tahun ini seramai 38 warga kerja menerima apresiasi Anugerah Perkhidmatan Terpilih dan Anugerah Ketrampilan jabatan masing-masing yang terdiri daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis dan MAIPs sendiri.

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button