Berita

MAIPs bantu majlis agama di Thailand

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan terus berusaha sedaya upaya bagi membantu Majlis Agama Islam (MAI) di Enam Wilayah Andaman Thailand dalam memperkasakan lagi bahasa Melayu dan tulisan Jawi di kawasan masing-masing sepertimana yang sentiasa dipohon oleh pihak mereka.

Salah satu aktiviti yang diadakan setiap tahun sejak lima tahun yang lalu ialah melalui Program ‘Ziarah Mahabbah MAIPs’ ke wilayah berkenaan yang sudahpun masuk tahun ke enam kali ini.

Pemerkasaan Bahasa Melayu bermaksud menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan, hebat dari segi kandungan ilmunya, keintelektualannya, keluasan penggunaannya, nilai ekonominya dan juga keterbacaannya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mempengerusikan ‘Majlis Perbincangan Cadangan Kerjasama Tahunan Di Antara MAIPs dengan MAI 6 Wilayah Andaman bagi Tahun 2020’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Masjid Besar Krabi di Thailand baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang DiPertua MAI Krabi Hj Asnawi Mukura yang juga Pengerusi YDP MAI 15 Wilayah di Thailand dan Yang DiPertua MAI Phuket yang juga Pengerusi YDP 6 Wilayah Andaman, Dr Kumon Dunglak.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa melalui program pemerkasaan ini juga ia dapat mendedahkan keunikan bahasa Melayu dari pelbagai aspek terutama sekali memberi peluang kepada pelajar dari Thailand sendiri untuk meningkatkan penguasaan terhadap bahasa Melayu sebagai medium komunikasi.

Pada masa yang sama, program ini juga turut menjadi medium mengeratkan lagi hubungan silaturahim bagi pihak yang terlibat seperti MAIPs dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Majlis Agama Islam (MAI) Wilayah Andaman Thailand serta Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terdapat di negeri Perlis.

Institusi-institusi yang terlibat adalah seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) – Phang Nga, UiTM Perlis – Phuket, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) – Krabi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis – Satun dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) – Trang yang telah dan akan terus bekerjasama dalam menjayakan pelbagai program yang dirancang dan memastikan agar semuanya berjalan dengan lancar dan berimpak.

(Visited 366 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button