Berita

MAIPs bakal agih lebih RM7juta bantuan persekolahan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan zakat untuk Bantuan Persekolahan 2022 sebanyak RM7,257,000 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM4,333,000.

Agihan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 12,095 orang pelajar merangkumi 6,713 orang pelajar sekolah rendah dan 5,382 orang pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis. Jumlah ini tidak termasuk penerima dari kalangan pelajar Sekolah Agama Rakyat yang akan turut disalurkan bantuan secara berasingan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs, Tahun 2022’ yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di Padang Behor, Kangar.

Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil adalah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda menjelaskan bahawa setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM600 yang akan disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di 111 buah sekolah di seluruh Perlis.

Ia merangkumi bantuan-bantuan berupa:
i) RM200 untuk pembelian pakaian sekolah dan alat tulis
yang akan diuruskan oleh pihak sekolah iaitu Muraqib Amil;
ii) RM100 untuk sumbangan tunai; dan
iii) RM300 untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh Pengurusan Sekolah melalui kerjasama PIBG dengan saranan oleh pihak JPN Perlis. Program berkenaan perlulah semata-mata untuk manfaat kepada pelajar yang terlibat sahaja.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pengurusan sekolah, barisan guru serta Persatuan Ibu bapa dan Guru seluruh negeri Perlis yang turut sama menjayakan proses mengenalpasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button