Nasional

MAIPs alukan sumbang saran penyumbang

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) amat mengalu-alukan sumbang saran daripada para penyumbang zakat kepadanya bagi menghasilkan inisiatif-inisiatif transformasi asnaf yang baharu ke arah mengeluarkan golongan asnaf di negeri ini dari belenggu kemiskinan.

Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) diwujudkan oleh MAIPs untuk menjadi pelaksana kolaborasi bagi menawarkan dan merancakkan lagi peluang-peluang latihan dan penempatan pekerjaan selain melaksanakan ‘Program-Program Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf’ bagi pihak MAIPs.

Demikian titah ucapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullalil bersempena program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 6 bagi tahun ini dianjurkan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang diadakan di Masjid Al Maghfirah, Pauh Sanglang, Sanglang, Perlis pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Seramai 300 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Simpang Sanglang, Sungai Padang, Kampung Padang Keria, Kampung Bunga Emas, Pauh Sanglang dan Permatang Bongor hadir bagi menerima agihan zakat masing-masing daripada MAIPs yang dikurniakan oleh baginda.

Turut diadakan ialah perasmian projek pembangunan sosio-ekonomi asnaf MAIPs yang melibatkan perniagaan kedai makanan dan masakan panas yang diusahakan oleh Yazi Akob, 49 tahun (No Tel : 0169815085) dan isteri beliau Sukanya Kepan berasal dari Satun, Thailand di Kampung Titi Tok Pulau, Simpang Empat yang telah beroperasi sejak lima tahun yang lalu dan telah pernah mendapat sumbangan MAIPs berupa bantuan modal untuk mendirikan kedai makan bernilai RM3,000 pada bulan Mei 2019 yang lalu.

Terdahulu, turut diadakan ialah ‘Tayangan Video Kesihatan’ dan juga Pemeriksaan Kesihatan yang dilaksanakan oleh para pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ke atas kesemua asnaf terpilih yang diundang hadir.

Turut disinggahi bagi mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina ialah kediaman Lim Nee Soong (Ulikar Enterprise Sdn Bhd) dan Goh Chai Ng Kah bagi menyerahkan hamper sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button