Nasional

Malaysia hargai kepercayaan yang diberikan Arab Saudi, Zambry

MALAYSIA merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana membenarkan negara ini meneruskan Laluan Mekah yang bermula sebagai program perintis pada 2017, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata Malaysia adalah satu-satunya negara yang dipilih kerajaan Arab Saudi untuk pelaksanaan program perintis itu enam tahun lalu yang kemudian diikuti dengan penyertaan Pakistan, Indonesia, Maghribi dan Bangladesh pada tahun berikutnya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia.

“Ini adalah salah satu perkhidmatan terbaik dan saya mesti merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Arab Saudi,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan Arab Saudi dalam bidang lain.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kaunter khas imigresen bagi program Laluan Mekah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Zambry berkata Laluan Mekah merupakan program khas yang mempercepatkan proses dokumentasi untuk bakal jemaah haji Malaysia, sambil menambah ia merupakan pendekatan kreatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Tidak semua negara mendapat keistimewaan seperti ini,” katanya.
Menerusi program itu, petugas imigresen Arab Saudi yang mengendalikan kaunter di KLIA akan menyemak pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, mereka tidak perlu menunggu lagi untuk menjalani proses imigresen dan kastam di negara itu.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim, mendoakan jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji tahun ini, haji yang mabrur (diterima ALLAH S.W.T).

“Kami berbesar hati memudahkan jemaah haji Malaysia dan Alhamdulillah, InsyaAllah mereka akan mendapat haji mabrur,” katanya.

Pada majlis perlepasan kumpulan pertama 284 jemaah haji pada 20 Mei lalu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas. Untuk Tanah Suci menunaikan rukun Islam yang kelima.

Penerbangan pertama pada 21 Mei manakala penerbangan pergi balik terakhir pada 1 Ogos. -SM

Baca juga : El Nino dijangka burukkan lagi keadaan jerebu di Malaysia

 

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button