Ekonomi

CFO Gading Kencana diiktiraf 10 terbaik di dunia

Ashraf Zabidi cekap mengurus aliran tunai syarikat ketika berhadapan cabaran Covid-19

KETUA Pegawai Kewangan(CFO) Gading Kencana Sdn. Bhd. Ashraf Zabidi diiktiraf sabagai antara 10 CFO terbaik di dunia oleh majalah korporat dan perniagaan antarabangsa C Level Focus yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Pemilihan CFO syarikat pembekal tenaga solar antara yang terbesar di Malaysia itu sebagai antara 10 terbaik di dunia berikutan kecekapannya menguruskan aliran tunai Gading Kencana ketika sektor perniagaan berhadapan kelembapan ekonomi disebabkan Covid-19.

Serangan virus itu menyebabkan hampir tidak ada lagi aktiviti menjana pendapatan bagi syarikat berasaskan projek seperti Gading Kencana Sdn Bhd.

Berhadapan cabaran yang getir, Ashraf telah memperkenalkan kaedah yang lebih mudah kepada pelanggan untuk membayar perkhidmatan pemasangan panel solar di bawah Dasar Net Energy Metering 3.0 (NEM3.0) yang diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia.

“Sebagai CFO, cabaran yang dihadapi oleh Ashraf adalah menguruskan aliran tunai syarikat. Dia telah berjaya merundingkan syarat pembayaran yang lebih lembut dari pembekal serta masa peluasan pembayaran dari sub-kontraktor untuk kerja-kerja yang dilakukan.

“Dia juga telah mengenal pasti pelbagai insentif kerajaan untuk kelangsungan hidup dan pemulihan perniagaan untuk dipertahankan dan berjaya memanfaatkannya untuk kepentingan syarikat,” menurut C Level Focus dalam artikel terbaharu yang disiarkan oleh majalah itu.

Sementara itu Ashraf yang dihubungi Suara Merdeka berkata, beliau berharap dengan pengiktirafan yang diberikan di peringkat antarabangsa itu akan memberikan kelebihan kepada Gading Kencana untuk meneroka peluang perniagaan tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.

“Kita bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan. Untuk menguruskan aliran tunai syarikat dalam situasi ekonomi yang tidak menentu bukan mudah. Namun saya akan sentiasa memastikan syarikat mempunyai aliran tunai dengan kecekapan pembayaran daripada pelanggan.

“Saya berharap pengiktiragan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada Gading Kencana di Malaysia sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Selain itu kita berharap pengiktirafan ini membuka lebih banyak peluang meneroka perniagaan tenaga boleh diperbaharui kepada Gading Kencana diperingkat antarabangsa,” katanya.

Gading Kencana diasaskan oleh Datuk Dr. Ir Guntor Tobeng yang merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan isterinya Datin Hasnah Awang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan.

Menyedari potensi tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, pasangan itu telah mendorong syarikat terus maju sejak dari awal dalam pasaran lampu solar, kemudian maju ke sistem solar off grid dan hibrid, dan kemudian memasuki sistem PV solar berskala besar.

Dua ladang solar berskala besarnya terletak di Melaka dan Perak. Dua lagi ladang solar berskala besar sedang dalam proses pembinaan di Perak selain pembinaan sebuah stesyen tenaga hidro mini juga di negeri tersebut.

Gading Kencana mempunyai rancangan perbelanjaan dengan modal AS$250 juta untuk tempoh lima tahun akan datang dalam misinya untuk menjadi antara pengeluar tenaga boleh diperbaharui tempatan terbesar, terutamanya tenaga solar dan tenaga hidro. .

Dengan jumlah gabungan projek dalam kapasitas 330MW, Gading Kencana berharap pengembangan projek  akan memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar kawasan projek dari segi ekonomi dan sosial, terutama bagi golongan miskin dan masyarakat yang memerlukan.-SM

(Visited 712 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button