Mahkamah

Mahkamah tolak saman Abdul Azeez terhadap Guan Eng

Mahkamah Tinggi George Town hari ini menolak saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kenyataan dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Keputusan tersebut dibacakan oleh Timbalan Pendaftar L Umma Devi di dalam kamar dengan dihadiri peguam Mohamed Fudhail Ahmad Zulaini yang mewakili Abdul Azeez selaku plaintif serta peguam N Mureli dan Felix Lim yang mewakili Lim selaku defendan dalam kes itu.

Mureli ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata mahkamah menolak saman yang dibuat plaintif (Abdul Azeez) dengan kos RM50,000.

Dia berkata mahkamah mendapati plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan dia dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.


Dia mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan.

Dia juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.-BERNAMA

(Visited 82 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button