Mahkamah

1MDB belum dapat serah saman AS$3.7837 bilion kepada Jho Low, 5 individu

1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum dapat menyerahkan writ saman AS$3.7837 bilion kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarga dan rakan sekutunya.
Pada 6 Julai lepas, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low, ayah dan ibunya Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.
Seorang peguam Tetuan Skrine, yang mewakili 1MDB, berkata pihaknya cuba menyerahkan writ saman kepada kesemua defendan namun gagal kerana mereka tidak berada di alamat terakhir masing-masing.
Beliau berkata berdasarkan writ saman itu, alamat terakhir keluarga Jho Low ialah di Pulau Pinang manakala Tan di Kepong di sini.
“Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 14 September ini untuk mengetahui status serahan writ saman berkenaan,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris hari ini.
Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.
1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.
Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.
Penyataan tuntutan plaintif mendakwa mereka dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low untuk memfasilitasikan penipuan yang berskala besar dan berjangka panjang, menyebabkan berbilion-bilion ringgit telah dilesapkan.
“Semasa melaksanakan penipuan tersebut, pelbagai pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari telah dilakukan oleh Najib, ahli-ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan plaintif-plaintif.
“Dana dan aset kesemua plaintif yang telah dipindah kepada defendan-defendan telah dilesapkan dengan pengetahuan kesemua defendan secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari,” menurut penyataan tuntutan itu.
Plaintif mendakwa Najib telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan beliau untuk melindungi dirinya serta menyembunyikan penipuan terhadap mereka antara lain bagi menghalang usaha menyiasat dan membongkarkan bukti berkaitan penipuan serta salah laku terhadap plaintif di Malaysia.
— BERNAMA
(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button