Nasionalpilihan

Syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan

PERDANA Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan bahawa Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga
RM1,000. Pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan memberitahu, perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan/manfaat diri sendiri, suami/isteri atau anak. Jenis pelepasan cukai individu berkaitan
perbelanjaan sukan yang layak dituntut adalah seperti berikut:

(i) pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] (tidak termasuk basikal dua roda bermotor);

(ii) bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan;

(iii) bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan; dan

(iv) yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan.

Pelepasan cukai bagi yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang dimasukkan untuk perbelanjaan yang dibuat oleh individu bermula pada tahun 2024. Kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai:

(i) latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas/ klinik/ kursus/ bengkel dan sebagainya;

(ii) jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576];

(iii) penyedia latihan mestilah persatuan/kelab sukan/syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; dan

(iv) perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian (bank-in slip dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti/resit pembayaran).

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini. – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button