JenayahNasionalNegeri

Polis Padang Besar banteras cubaan seludup 16 kg ganja bernilai RM49,600

LAGI kejayaan besar Polis Padang Besar dalam usaha membanteras penyeludupan dadah yang dipercayai untuk edaran ke selatan tanah air sekaligus mengekang dari digunakan oleh 32,000 penagih.

Ini berikutan sebanyak 16 kilogram (kg) dadah yang disyaki ganja bernilai RM49,600 telah dirampas di belakang sebuah bangunan di Kampung Melayu, Padang Besar.

Baderulhisham Baharudin (kanan sekali) menunjukkan rampasan ganja pada sidang media di IPD Padang Besar.

“Kejayaan ini hasil Ops Tapis Khas oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Padang Besar yang bertindak atas maklumat telah melakukan intipan berhubung penyeludupan dadah berdekatan pagar sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 7.20 pagi pada 24 Januari lalu,” kata Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah.

Baderulhisham berkata, semasa intipan itu, kelihatan seorang lelaki berjalan kaki dari arah laluan tikus melewati pagar sempadan dengan membawa sebuah kotak.

Bagaimanapun katanya, lelaki berkenaan cuba melarikan diri ke arah pagar sempadan semula setelah menyedari dirinya diintip pihak berkuasa.

“Lelaki tempatan berusia 24 tahun ini dikejar oleh pasukan ini dan berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam kotak yang dibuang suspek itu mengandungi dadah disyaki ganja dalam 11 ketulan mampat dalam plastik lutsinar dan lima lagi ketulan mampat ganja dalam “foil aluminium”.

Baderulhisham berkata, suspek telah direman selama seminggu mulai 24 sehingga 30 Januari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau yang berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Tambahnya, ujian saringan air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Baderulhisham Baharudin menunjukkan lokasi tempat kejadian yang membawa kepada penahanan suspek dan rampasan ganja di Kampung Melayu, Padang Besar.

Baderulhisham berkata, hasil siasatan juga mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengambil upah membawa bekalan dadah yang diambil dari negara jiran dan menyeludup masuk ke Malaysia untuk diedarkan kepada pembeli.

Katanya, suspek dipercayai mula bergiat aktif dalam aktiviti ini sejak November tahun lalu.

Beliau berkata, harga sebuah ketulan ganja mampat itu dibeli dengan harga RM600 dan dijual pada pasaran tempatan RM3, 100. – SM

BACA JKDM tumpaskan seludup ganja RM649, 300 di Kuala Perlis

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button