Nasional

Kerajaan Persekutuan, negeri kukuhkan kerjasama sains, teknologi dan inovasi negara

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas sains, teknologi dan inovasi (MEXCO-STI) di Kuala Lumpur.

MEXCO-STI bermatlamat untuk menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan STI, pelaksanaan program serta mewujudkan perkongsian pintar untuk memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

Lih Kang berkata, “STI memainkan peranan penting sebagai pemboleh daya bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjadi asas penggerak ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Maka adalah penting STI diperkukuh dan diarusperdanakan merentasi sektor dan peringkat dalam agenda  pembangunan negara.

“Saya yakin kesemua strategi tumpuan akan berjaya dicapai menerusi kerjasama erat antara MOSTI dan Kerajaan Negeri melalui Dasar Sains,

“Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (10-10 MySTIE). Kesemua inisiatif ini bergerak seiring untuk meluaskan pemerkasaan dan pengaplikasian sains dan teknologi bagi menyokong transformasi negara daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi.”

Pada mesyuarat MEXCO-STI hari ini, ahli-ahli telah membincangkan berkenaan pembentukan kerjasama dalam memacu bioteknologi negara di bawah BIOALLIANCE, pembudayaan STI di peringkat akar umbi melalui Ruang Daya Cipta (RDC), peluasan pelaksanaan bandar pintar (Smart Cities) dan komitmen kerajaan negeri Melaka melalui penubuhan pusat RICE iaitu Research, Innovation, Commercialisation and Entrepreneurship@UTEM Melaka.

Turut dimaklumkan juga mengenai program pembangunan teknologi yang memerlukan kerjasama Kerajaan  Negeri.

Di antaranya Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan industri tempatan dalam pembuatan satelit, Program Nano Kebangsaan (nanoKEB) 2023 yang merupakan platform untuk mengiktiraf pelaksanaan R&D dalam teknologi nano tempatan.

Penghargaan juga dizahirkan ke atas kerjasama kerajaan negeri dalam memastikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

MOSTI turut berkongsi maklumat mengenai peruntukan Kerajaan sejumlah RM510 juta dana R&D di bawah MOSTI dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tahun 2024 untuk meningkatkan daya saing penyelidik dan industri tempatan melalui pemerkasaan Research, Development, Commercialisation and Innovation (R,D,C,&I).

Peruntukan ini telah diumumkan semasa pembentangan belanjawan pada 13 Oktober yang lalu. Pelbagai inisiatif R&D telah dilaksanakan melalui kerjasama Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, penyelidik dan masyarakat yang menepati keperluan sesebuah kawasan seterusnya memberikan banyak limpahan manfaat dalam memelihara kesejahteraan penduduk setempat. – SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button