Hiburan

Mahkamah Sahkan Pernikahan Marissa Dania & Aslam di Songkhla

SELEPAS lebih setahun menjadi bualan netizen dan peminat dunia hiburan tanah air, status pernikahan antara Marissa Dania Hakim dan suaminya, Ahmad Aslam akhirnya disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Marissa, yang juga anak kepada pelakon terkenal Abby Abadi dan Norman Hakim, sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila didakwa berkahwin secara senyap di Songkhla, Thailand tanpa pengetahuan keluarga serta ketika Aslam masih berstatus suami orang.

Peguam pasangan tersebut, Muhammad Ammar Yaser memaklumkan bahawa pernikahan yang berlangsung pada 27 Disember 2023 itu telah disahkan sah mengikut hukum syarak dan perundangan negara, selepas melalui proses mahkamah mengikut Seksyen 23(1A) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang merujuk kepada pernikahan poligami di luar negara tanpa kebenaran.

“Dengan keputusan ini, pasangan perlu segera mendaftarkan pernikahan mereka di Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) bagi tujuan dokumentasi rasmi,” katanya kepada media.

Pasangan muda itu menjadi perhatian ramai apabila timbul dakwaan mereka bernikah secara rahsia dan tidak mendapat restu keluarga. Lebih mengundang kecaman, Aslam ketika itu masih terikat dengan perkahwinan terdahulu.

Marissa dan Aslam juga dilaporkan mengalami keguguran pada Ogos tahun lalu, dan sehingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Keputusan mahkamah hari ini dilihat sebagai penutup kepada teka-teki dan spekulasi panjang mengenai status hubungan mereka, meskipun isu perasaan dan penerimaan keluarga masih belum dipastikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button