MahkamahNasional

Mahkamah Rayuan soal sama ada permohonan Rosmah gugur hakim boleh dirayu

MAHKAMAH Rayuan mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan tambahan berhubung sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dua rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan hakim yang mendengar perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Perbicaraan ditetapkan untuk didengar Hakim Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi.

Zaini juga ialah hakim yang mendengar dan mensabitkan Rosmah dalam perbicaraan rasuah projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion awal tahun ini.

Hakim Hanipah Farikullah, pengerusi panel tiga anggota yang mendengar rayuan berkata, mereka telah membaca hujahan bertulis yang difailkan oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan, tetapi penjelasan lanjut diperlukan.

“Ini (berhubung) sama ada perkara di hadapan kami boleh dirayu bawah Seksyen 3 dibaca bersama Seksyen 51 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.


Seksyen 3 mentakrifkan istilah “keputusan” sebagai sebarang penghakiman, hukuman atau perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Tetapi tidak termasuk apa-apa ketetapan yang dibuat dalam perjalanan sesuatu perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad.

Hanipah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan, memberi tempoh sebulan kepada kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis mereka selanjutnya.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Tinn, yang membantu pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram, memberitahu pemberita rayuan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Dis sementara menunggu pemfailan hujahan.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, meminta Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haramnya yang sedang berlangsung.

Dakwanya, kenyataan dan ekshibit yang dikemukakan di hadapan mahkamah dalam kes rasuah terdahulu boleh mempengaruhi hakim sama ada secara langsung atau tidak dalam keputusannya untuk kes semasa.

Pada 14 Disember tahun lepas, Zaini menolak permohonan Rosmah dengan berkata, mengikut undang-undang, beliau dikehendaki mempertimbangkan setiap kes secara berasingan dan bebas.

Pada 25 April tahun ini, Zaini menolak permohonan kedua Rosmah dengan berkata, ia adalah res judicata kerana Rosmah telah membuat permohonan yang sama dalam perbicaraan rasuah projek tenaga solarnya, yang turut ditolak.

Peguam Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah dalam kes pertama, dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam kes kedua.

Sri Ram tampil untuk pendakwaan dalam kedua-dua kes.

Rosmah berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.

Pada 1 Sept, Zaini memutuskan bahawa Rosmah, 70, telah meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek.

Beliau turut mendapati Rosmah menerima suapan RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, dan RM1.5 juta lagi juga daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta. Dia telah memfailkan rayuan. – FMT – SM

 

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button