Mahkamah

Mahkamah Rayuan kekal keputusan bebas dan lepas dua bekas pengarah syarikat

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan dua bekas pengarah Silver Bird Group Bhd daripada 134 pertuduhan menipu sebuah bank melibatkan RM67.4 juta.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Kamardin Hashim menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah rendah yang melepas dan membebaskan Datuk Jackson Tan Han Kook, 66, dan Ching Siew Cheong, 58, daripada semua pertuduhan berkenaan.

Hakim mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Tan dan Ching.

Dalam keputusannya, beliau berkata, tiada merit dalam rayuan berkenaan dan tiada kekhilafan yang boleh dirayu.

“Responden kekal dilepas dan dibebaskan,” kata Hakim Kamardin yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Han Kok, bekas pengarah urusan Silver Bird Group Bhd dan Siew Cheong, bekas pegawai eksekutif syarikat itu, mengaku tidak bersalah pada Disember 2012 terhadap 134 pertuduhan menipu Maybank dengan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank.

Mereka juga didakwa atas tuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas dakwaan menggunakan dokumen palsu.

Mereka dituduh menipu pegawai Maybank dengan menggunakan dokumen palsu semasa memohon  kemudahan Penerimaan Jurubank, memperdayakan pegawai bank untuk memindahkan wang berjumlah RM67,433,143 ke dalam akaun tiga buah syarikat iaitu Asia Food Link Sdn Bhd, Violet Bonanza Sdn Bhd dan Stanson Marketing Sdn Bhd.

Han Kok dan Siew Cheong dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Februari 2016, setelah Hakim Mohd. Nasir Nordin mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

Pendakwaan merayu terhadap keputusan berkenaan, namun Mahkamah Tinggi  mengekalkan keputusan itu pada 12 Disember 2017 yang menyebabkan pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Datuk K. Kumaraendran, mewakili Han Kok manakala Datuk N. Sivananthan mewakili Siew Cheong. – BERNAMA

(Visited 475 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button