
Mahkamah Persekutuan: Fatwa MAIS Sah, Tapi Tak Boleh Dikenakan pada SIS
Putrajaya, 19 Jun 2025 – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sah dan berkuat kuasa ke atas individu Muslim, namun tidak terpakai terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) sebagai sebuah entiti korporat.
Panel hakim tertinggi negara itu dalam keputusan sebulat suara menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak terlibat dalam pembatalan fatwa tersebut, sekali gus menolak tanggapan salah bahawa wujud campur tangan politik atau eksekutif dalam kes berkenaan.
Fatwa kekal sah – tapi hanya untuk individu
Dalam penghakiman yang dirujuk kepada perenggan [6] dan [7], Mahkamah menyatakan bahawa:
“Fatwa tersebut adalah sah setakat mana ia merujuk kepada ‘mana-mana individu’ yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama.”
Ini bermakna, mana-mana individu Muslim yang didapati menganut fahaman tersebut masih tertakluk kepada fatwa MAIS. Namun, Mahkamah berpendirian bahawa sebuah syarikat atau organisasi seperti SIS Forum (Malaysia) tidak boleh dianggap sebagai “orang Islam” di sisi undang-undang.
Organisasi tidak boleh jadi subjek fatwa
Perenggan [8] hingga [11] penghakiman menjelaskan bahawa menurut Perlembagaan:
“Perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ hanya boleh merujuk kepada orang sebenar (natural persons), bukan syarikat.”
Mahkamah juga menyatakan bahawa:
“Sebuah syarikat tidak boleh melafazkan syahadah, tidak boleh solat, tidak boleh bertaubat.”
Dengan itu, Mahkamah menolak cadangan untuk “mengangkat tabir korporat” (lifting of corporate veil) bagi menisbahkan pegangan individu dalam organisasi kepada entiti itu secara langsung. Sebarang pelanggaran fatwa, menurut Mahkamah, mesti dibuktikan terhadap individu, bukan ke atas badan korporat seperti SIS.
Arahan terhadap SKMM dan KDN adalah tidak sah
Mahkamah turut membatalkan peruntukan dalam fatwa yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas bahan terbitan SIS.
Dalam perenggan [15], Mahkamah menegaskan:
“Sebarang tindakan atau arahan kepada agensi Kerajaan Persekutuan seperti SKMM atau KDN bukan dalam bidang kuasa Majlis Agama Negeri atau Kerajaan Negeri.”
Oleh itu, MAIS tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan badan-badan di bawah Kerajaan Persekutuan bertindak berdasarkan fatwa negeri.
Keputusan penting hadkan kuasa ke atas entiti bukan individu
Keputusan ini dilihat sebagai penegasan penting terhadap had kuasa Majlis Agama Negeri dan pemisahan bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Ia juga memberi kejelasan terhadap perlaksanaan fatwa dalam konteks korporat dan hak asasi organisasi sivil dalam perundangan negara.