Nasionalpilihan

23,000 pelajar tunggang motosikal tanpa lesen tidak akan diambil tindakan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil tindakan drastik termasuk mengeluarkan saman dan sebagainya terhadap lebih 23,000 pelajar di seluruh negara
yang masih menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Rospiagos Taha berkata, masih ada ruang untuk mendidik pelajar mengenai peraturan jalan raya yang sepatutnya mereka patuhi sekiranya mendapat kerjasama daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah.

Menurutnya, berdasarkan kajian JPJ memang benar lebih daripada 23,000 pelajar berumur antara 16 hingga 35 tahun menggunakan kenderaan ke sekolah tanpa lesen.

Jelasnya, ketika ini adalah fasa advokasi paling penting untuk memberi penerangan di sekolah-sekolah mengenai keselamatan jalan raya.

“Memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan mereka ini boleh didenda namun pada masa ini JPJ lebih tertumpu kepada program advokasi kita faham adik-adik ini ada
masalah kenderaan dan sebagainya.

“Bagi mereka yang layak untuk memiliki lesen kita galakkan mereka untuk mengambil lesen secara sah.

“Saya percaya melalui program advokasi yang kita susun rapi, sistematik dan bersasar ia ada keberkesanan. Kita percaya peratusan ini akan menurun serta mereka sedar tentang kesalahan yang patut mereka patuhi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Zon Selatan 2023 di Pusat Kokurikulum Lanchang, Merlimau di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Melaka,
Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut Rospiagos berkata, pelbagai program yang dianjurkan termasuk Perkhemahan Kadet JPJ akan dapat memberi kesan kepada pelajar termasuk ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menggunakan kenderaan tanpa lesen.

“Dalam tempoh enam bulan ini sasaran kita adalah untuk memperhebatkan program advokasi kerana kita percaya berdasarkan rekod yang lepas-lepas program ini sangat berkesan terutama di sekolah-sekolah yang telah kita buat projek bersama,” ujarnya.

Begitupun katanya, program ini akan berhasil jika mendapat kerjasama penuh daripada ibu bapa dan masyarakat termasuk PIBG dan sekolah itu sendiri.

Justeru katanya, pelajar yang menyertai Pasukan Kadet JPJ secara tidak langsung akan menjadi ‘duta’ keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah kerana mereka menjadi jurucakap bagi membentuk disiplin dalam kalangan rakan-rakan mereka. – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button