fbpx
Politik

Mahkamah halang Dong Zong anjur sidang berkaitan Jawi

PERSEKUTUAN Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dihalang daripada  meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi esok.

Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof  berkata, pihaknya telah memohon dan berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang hasrat Dong Zong itu.

Menurut Ahmad Dzaffir, pihaknya telah menyerahkan perintah itu kepada Dong Zong pada petang tadi.

“Polis menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan perintah mahkamah ini. Polis akan ambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang enggan mematuhinya,” kata Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan hari ini.

Perintah mahkamah itu diambil bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.

“Atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan ketenteraman awam yang mana boleh mencetuskan kegusaran orang ramai,” katanya.

Dong Zong sebelum ini bertegas mahu menganjurkan persidangan berkenaan esok walaupun telah dinasihatkan okeh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dong Zong mendakwa pengenalan tulisan Jawi didakwa bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Kumpulan itu sebelum ini berkata, persidangan esok akan membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular dan tujuannya untuk meyakinkan kerajaan agar membatalkan pengajarannya.

Ia juga  dibuka kepada wakil-wakil NGO Cina.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button