Nasional

Mahkamah berfungsi ketika darurat, kerajaan tidak campur – PM

BADAN kehakiman dan mahkamah akan berfungsi sepanjang darurat berlangsung bermula semalam hingga 1 Ogos nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri badan kehakiman dalam membuat sebarang keputusan.

“Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.

“Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

“Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak akan pernah campur tangan dalam urusan pengadilan,” kata Muhyiddin dalam Pengumuman Khas Darurat hari ini.

Ketika ini beberapa pemimpin politik sama ada dari pihak Kerajaan mahupun pembangkang dihadapkan ke mahkamah atas beberapa kesalahan.

Menurut Muhyiddin, aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada prosedur operasi standard dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa.

Katanya, Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.

Sementara itu Muhyiddin memberi amaran keras agar tidak ada mana-mana pihak menganggu usaha kerajaan untuk mengekang pandemik Covid-19.

Beliau menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan keras terhadap sesiapa yang didapati cuba menghalang usaha kerajaan membasmi jangkitan Covid-19.

“Saya memberi amaran keras, sesiapa yang cuba mengganggu-gugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara akan diambil tindakan tegas demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara,” kata Muhyiddin.-SM

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button