Luar NegaraMahkamah

Mahkamah benarkan peguambela soal Leissner tentang e-mel Kimora Lee

Tim Leissner seorang pembohong yang licik

MAHKAMAH di New York, Amerika Syarikat (AS) membenarkan pihak pembelaan menyoal bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner mengenai e-mel tertentu yang dihantar kepada bekas isterinya Kimora Lee Simmons Lessner.

Kebenaran itu juga untuk menunjukkan sama ada Leissner seorang pembohong yang licik atau sebaliknya, kata hakim sepertimana dilaporkan Bloomberg.

Perintah pada Isnin (semalam) dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn terhadap Roger Ng yang didakwa bersubahat dengan Leissner berhubung kes 1MDB adalah satu kompromi.

Pihak pembelaan pada asalnya mahu menunjukkan e-mel itu kepada juri. Hakim Daerah Amerika (AS), Margo Brodie bagaimanapun memutuskan juri tidak boleh melihat e-mel tersebut.

Peguambela Roger Ng, Marc Agnifilo menggunakan sesi pemeriksaan balas terhadap Leissner untuk menyerang kredibiliti saksi utama kerajaan itu terhadap anak guamnya.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana membantu ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB menyebabkan Roger Ng menjadi hanya satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal itu.

Pendakwa raya berhujah bahawa e-mel itu tidak relevan kerana kebanyakannya dihantar selepas konspirasi 1MDB itu berakhir pada 2014 dengan berkata, “ia mungkin mengelirukan juri.”

Marc Agnifilo berkata semalam, e-mel itu menyokong gambaran yang cuba ditunjukkan mengenai Leissner.

“Teori kami ialah dia adalah seorang pembohong yang licik, pembohong licik yang jarang ditemui,” kata Marc Agnifilo kepada mahkamah selepas juri bersurai.

Beliau berkata, “saya ingin menunjukkan kepada juri bahawa dia (Leissner) adalah seorang pembohong dan satu-satunya cara untuk juri memahami apakah yang dilakukannya terhadap anak guam kami dan tempoh masa dia melakukan perkara lain yang bersifat luar biasa dan licik.”

Marc Agnifilo berkata, Leissner mereka alamat e-mel palsu yang kononnya daripada isteri keduanya, Judy Chan yang digunakan oleh Leissner untuk berkomunikasi dengan teman wanita itu.

Pada ketika itu,  Kimora Lee Simmons Leissner menyamar sebagai Judy Chan apabila Leissner menghantar mesej itu.

Peguam itu berkata, Leissner juga menggunakan nama Judy Chan pada 2016 untuk membeli hasil seni yang diperoleh J-Low daripada penyelewengan 1MDB walaupun AS telah melancarkan siasatan ketika itu.

Hakim Brodie pula berkata, Marc Agnifilo boleh menyoal Leissner mengenai pembohongan itu untuk menunjukkan bahawa dia adalah saksi yang tidak boleh dipercayai.

Kata Hakim Brodie lagi, beliau juga telah menyemak beberapa e-mel lain yang dihantar oleh Leissner kepada Kimora Lee Simmons Leissner untuk menentukan sama ada ia boleh digunakan dalam perbicaraan.

Terdahulu Marc Agnifilo cuba menggambarkan bahawa Roger Ng diketepikan daripada beberapa mesyuarat dan perbincangan perjanjian antara J-Low dan Leissner termasuk cadangan pengambilalihan gergasi perlombongan Brazil, Vale SA.

Beberapa perbincangan itu berlaku sekitar transaksi bon pertama dan kedua yang dikendalikan oleh pihak bank Goldman untuk 1MDB pada tahun 2012.

Leissner mengaku Roger Ng tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat dengan J-Low dan dia tidak ingat keadaan-keadaan yang lain. Banyak tawaran yang dicadangkan tidak pernah menjadi kenyataan, kata Leissner. – SM

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button