Nasional

Mahkamah benar Superman Hew cabar larangan KDN edar komik ‘ideologi komunis’

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas ahli DAP Hew Kuan Yew mencabar Perintah Larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Peguam J Shamesh berkata, hakim Mariana Yahaya menetapkan 20 Januari ini untuk pengurusan kes.

“20 Januari ditetapkan sebagai pengurusan kes untuk melihat sama ada semua keperluan akan dipenuhi. Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan afidavitnya untuk menjawap apa yang telah kami failkan.

“Saya percaya bahawa mereka akan membantah, dan kemudian tarikh pendengaran akan ditetapkan,” kata Shamesh.

Hew yang merupakan pelukis komik tersebut ’ membuat permohonan semakan kehakiman selepas KDN mengharamkan buku komiknya kerana didakwa mempromosikan ideologi komunisme.

Mengikut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 November lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Kementerian Dalam Negeri, AGC dan kerajaan dinamakan sebagai responden.

Pada 23 Oktober tahun lalu KDN mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris ‘Belt & Road Initiative For Win-Winism’ dan versi bahasa Cina melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

Warta Perintah Larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

KDN berkata, penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha dan perjuangan tokoh serta pemimpin negara terdahulu memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” kata KDN.

Komik tersebut menjadi kontroversi selepas salinannya diedarkan ke sekolah sebagai bahan rujukan. Sebanyak 2,000 salinan bukut tersebut telah dirampas.

Komik berkenaan turut mendapat kecaman kumpulan Islam di Malaysia seperti  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setiausaha Agung ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, komik kontroversial diilhamkan Hew antara naratifnya berkisar mengenai penindasan China terhadap masyarakat Uighur.

“Ini dapat dilihat dalam kandungan komik tersebut, antaranya menyebarkan propaganda bahawa mereka yang membela nasib umat Islam Uighur yang dizalimi kerajaan China adalah radikal.

“(Komik tersebut) mengetengahkan fahaman bahawa umat Islam bersimpati dengan kumpulan pengganas,” kata Muhammad Faizal.-SM

 

(Visited 404 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button