Pendidikan

KPM arah penilaian risiko pastikan infrastruktur dan kemudahan sekolah selamat

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah melakukan penilaian risiko bagi memastikan semua infrastruktur dan kemudahan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan selain mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dalam masa yang sama, semua sekolah juga diminta agar sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keselamatan murid.”Perkara itu (pelaksanaan penilaian risiko di sekolah) sememangnya dalam pemerhatian kita (KPM) dalam memastikan semua sekolah selamat termasuk infrastruktur dan kemudahannya.

“Ia (langkah keselamatan) juga ada kaitan dengan susulan peruntukan RM70,000 kepada sekolah-sekolah untuk menaik taraf dan menyelenggara (kemudahan), jadi langkah ini memang sangat kena pada masanya dan pada masa sama kita ingatkan semua sekolah kena ambil langkah berhati-hari bagi memastikan keselamatan murid.

“Keselamatan dan penilaian risiko itu melibatkan bangunan dan dalam kawasan sekolah serta premis sekolah, jadi semua proses kerja intervensi telah kita laksanakan dalam proses tersebut bagi memastikan sekolah sentiasa selamat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program KV Insani Masyarakat MADANI Pulau Pinang di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Acheh di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam bahawa Kerajaan Negeri Perak meminta sekolah di negeri itu melakukan penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran dan peralatan yang digunakan di premis berkenaan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ia ekoran kejadian Selasa lepas iaitu seorang murid perempuan Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Perpaduan, Ipoh, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, cedera ditimpa tangki pam tandas yang tercabut ketika menggunakannya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian pelajar maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan di sebuah sekolah menengah di Durian Daun, Melaka, Fadhlina berkata semua pihak di sekolah perlu bersama-sama memastikan keselamatan anak-anak dari semasa ke semasa.

“Sebenarnya kita perlu ambil langkah intervensi dan langkah berjaga-jaga, maknanya berhati-hati memantau keselamatan sebab kita memang di peringkat ini ada konsep sekolah selamat … bukan sahaja selamat daripada gangguan buli tetapi juga daripada infrastruktur yang ada di sekolah,” katanya.

Pada Khamis lepas, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah itu dan mangsa dijumpai oleh tukang kebun dalam keadaan terlungkup di kaki lima bangunan sekolah terbabit pada 2.31 petang.

— BERNAMA

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button