NasionalNegeri

Empati aspek penting perkembangan sosial, emosi pelajar – Raja Muda

Empati merupakan aspek penting dalam perkembangan sosial dan emosi pelajar dan guru memainkan peranan yang sangat penting dalam menggalakkan tingkah laku empati dalam kalangan pelajar.

Rasa empati amat mustahak dalam pembentukan kemahiran sosial pelajar kerana dengan memahami perasaan orang lain, mereka akan mahir dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelbagai jenis personaliti, seterusnya menyelesaikan sebarang masalah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah pada Program Titian kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat SMK Syed Alwi, Kayang, Kangar.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Kayang, dekat Kangar anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Berangkat sama ke majlis bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan melihat pelajar menyediakan bun dalam kelas masakan sempena Program Titian kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat SMK Syed Alwi, Kayang, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengetua Sekolah, Ghazali Ahmad dan Yang Dipertua PIBG SMK Syed Alwi, Hamizan Hassan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman, Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras Program Titian Kasih Mega 2023, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Ghazali memaklumkan bahawa sekolah ini cukup terkenal dengan pencapaian kokurikulum yang sangat membanggakan antaranya Pasukan Bolasepak Bawah 15 Tahun sekolah telah muncul selaku johan Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2023.

Pasukan Bawah 13 tahun, 15 tahun dan 17 tahun Pusat Latihan Daerah Kangar dengan majoriti 90 peratus pelajar SMKSA telah layak ke pertandingan Pusat Latihan Daerah (PLD) peringkat kebangsaan di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Seorang bekas pelajar sekolah ini iaitu Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar sekarang sedang menyarung jersi pasukan Malaysia Bawah 23 tahun dan baru-baru ini telah terpilih sebagai penjaring terbanyak Piala AFF Asia Tenggara yang berlangsung di Thailand.

Kecemerlangan dan legasi Datuk Abd Latif Romli yang merupakan bekas pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Syed Alwi diteruskan lagi hingga kini.

Dua orang pelajar PPKI SMK Syed Alwi juga telah terpilih mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan iaitu Muhammad Adam Faris Ahmad Tajuddin yang telah memenangi emas acara 2000 meter lari berhalangan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM 2022) dan Acara Merentas Desa PPKI Kebangsaan tahun 2022 dan 2023.

Manakala Nur Arisya Nabila Adi Fazril pula telah memenangi pingat emas Kejohanan Merentas Desa PPKI Kebangsaan 2022 dan 2023, pingat emas acara 1500 meter Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2022 dan pingat perak acara 800 Meter Para SUKMA 2022.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di laman program itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan melihat pelajar membuat rantai kunci sempena Program Titian kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat SMK Syed Alwi, Kayang, Kangar.

PPKI merupakan program yang dijalankan di sekolah-sekolah yang mempunyai kelas untuk murid Pendidikan khas dan murid-murid istimewa. Kategori program ini termasuk murid bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan bermasalah pembelajaran.

Bagi SMK Syed Alwi, kebitaraan program ini adalah sukan olahraga manakala bagi kemahiran vokasional pula pembuatan roti dan perabot.

Seramai 400 pelajar dari tingkatan 1 sehingga 3 telah terlibat pada program pagi ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar seluruh warga SMK Syed Alwi menjalankan tugas masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab dan berintegriti bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan. SM

BACA Pengajaran, pembelajaran luar bilik darjah bentuk pelajar proaktif – Raja Muda

BACA Pelajar perlu teroka pelbagai kaedah belajar – Raja Muda Perlis

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button