Politik

Mahdzir nafi terlibat sokong kerajaan baharu pimpinan Anwar

AHLI Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan beliau pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden UMNO itu menafikan laporan sebuah portal berita bahawa dia antara 19 orang ahli Parlimen BN yang menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baharu mengantikan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

“Saya, Mahdzir Bin Khalid, Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan ringkas.

Sebuah portal dalam talian The Coverage mengeluarkan senarai nama ahli Parlimen BN yang menyokong Anwar sekaligus menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional tumbang.

Nama mereka yang didakwa terlibat oleh portal berita itu:

Arau – Shahidan Kassim

Padang Terap – Mahdzir Khalid

Baling – Abdul Azeez Abdul Rahim

Machang – Ahmad Jazlan Yaakub

Besut – Idris Jusoh

Padang Rengas – Mohamed Nazri Abdul Aziz

Parit – Mohd. Nizar Zakaria

Pasir Salak – Tajuddin Abdul Rahman

Bagan Datuk – Ahmad Zahid Hamidi

Jerantut – Ahmad Nazlan Idris

Pekan – Mohd. Najib Abdul Razak

Tanjong Karang – Noh Omar

Putrajaya – Tengku Adnan Tengku Mansor

Pontian – Ahmad Maslan

Kimanis – Mohamad Alamin

Kinabatangan – Bung Moktar Radin

Rompin – Hasan Arifin

Cameron Highlands – Ramli Mohd. Noor

Gerik – Hasbullah Osman.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Justeru beliau tidak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mahu menyokong Anwar.

Anwar dalam sidang media khas semalam berkata, beliau yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).-SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button