Hiburan

Balaslah jasa M Daud Kilau…

SIAPA yang tidak kenal dengan Raja Gelek Malaysia, Datuk Muhammad Daud Kilau, 82, atau lebih dikenali sebagai M. Daud Kilau.

Satu ketika dahulu, pelantun lagu-lagu bergenre langgam, asli dan dangdut ini diburu peminat yang ingin bergambar dengannya.

Malah, ketika di zaman kegemilangannya, dia mencurahkan segala keringatnya semata-mata untuk menghiburkan peminatnya.

Bayangkan, siapa saja yang sanggup memakai baju labuci yang berkilat-kilat bagi setiap persembahan dan kos untuk menyiapkan sehelai baju itu juga bukannya murah.

Malah, baju itu bukan sehelai dua sahaja ya. Ada beratus lagi koleksi baju labuci yang digunakan M. Daud Kilau di setiap persembahannya.

Sebahagian daripada beratus koleksi baju-baju labuci yang digunakan M Daud Kilau untuk persembahannya.

Semua baju itu dibuat sendiri menggunakan wang persembahan dan tidak pernah sekali pun dia mengungkit perkara itu.

Saya antara yang pernah menemu bual M. Daud Kilau sekitar tahun 2015 di mana ketika itu pergerakan fizikalnya sudah mula terbatas.

Ketika itu bertugas sebagai wartawan hiburan di sebuah akhbar yang telah ditutup selepas 80 tahun beroperasi!

Sesi penggambaran dilakukan di rumahnya di sebuah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di kawasan Setapak.

Ketika itu saya terlewat 10 minit untuk sampai ke rumahnya dan bila saya masuk sahaja, dirinya sudah siap dengan baju labuci dan bersolek kemas untuk ditemu bual. Semuanya ‘on time’.

Album Cubit-Cubit Sayang diterbitkan oleh Yusaini Amir pada tahun 1978.

Bukan hendak kata artis sekarang tidak patuh pada masa, tetapi apa yang dilakukan raja gelek ini mengingatkan saya kepada betapa komitednya insan seni bergelar M. Daud Kilau.

Sebolehnya dia mahu semua berjalan lancar dan tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Malah, ada juga cerita daripada rakan-rakan wartawan lain berkenaan komitmen M. Daud Kilau ketika diundang untuk melakukan persembahan.

Pukul 2 petang majlis bermula, jam itu juga M. Daud Kilau hadir lengkap dengan busana labuci dan bermekap walaupun persembahannya hanya akan bermula kira-kira pukul 4 petang!

Tetapi itulah, masa berlalu seiring dengan usia yang semakin meningkat. Fizikal M. Daud Kilau kini sudah tidak mampu memenuhi keinginan kita lagi.

Baru-baru ini M. Daud Kilau merintih dan meminta semua orang mendoakan yang terbaik buat kesihatannya.

Pendakwah terkenal, Ebit Lew antara yang singgah ke rumah M Daud Kilau di Bagan Datuk, Perak baru-baru ini.

Ketika itu juga ramai yang datang melawat dan permintaannya untuk memiliki kerusi roda bagi memudahkan pergerakan terus disalurkan tanpa ditangguh.

Terbaharu raja gelek itu akan menerima Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula bulan ini bagi meringankan beban penyanyi veteran itu.

Persatuan Artis Malaysia jua tampil menghulurkan bantuan terhadap permata seni ini.

Harapnya bantuan, sokongan dan doa yang diberikan terhadap M. Daud Kilau ini biarlah berterusan.

Dahulu dia memberi komitmen yang sepenuhnya untuk memenuhi kehendak peminat dan kini tibalah masa untuk kita memenuhi komitmen bagi membantunya dengan sedaya yang ada. -SM

(Visited 734 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button